Pertandingan Tiga Penjuru Dalam Pru Ke 14 Bukan Lagi Isu Besar



Oleh HAYAR HASSAN
 
Enam bulan yang lalu, ramai pimpinan Pakatan Harapan(PH) rancak membicarakan betapa pertandingan tiga penjuru  wajar dielakkan kerana ianya diandaikan akan menguntungkan UMNO/Barisan Nasional(BN). Ramai yang berpandangan bahawa suasana pertandingan tiga penjuru itu sengaja dirancang oleh UMNO/BN ! UMNO/BN dikatakan telah sanggup mengadakan dana yang besar untuk merealisasikannya ! Pertandingan tiga penjuru dalam PRU ke 14 adalah salah satu senjata terakhir UMNO/BN untuk terus berkuasa.

Namun demikian, seiring berjalannya waktu dan perkembangan politik tanah air mutakhir ini, isu ini sudah bukan menjadi isu yang terlalu penting lagi.  Isu ini sudah tidak menarik minat orang untuk membicarakannya. Kata anak-anak muda sekarang, “Orang dah tak ambil pot pun, sudah basi !”.

Sewaktu ianya hangat dibincangkan dahulu, peranan dan halatuju PAS seolah-olah menjadi cukup penting. Hampir semua pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan(PH) terus berusaha untuk memujuk PAS kembali bersama dengan PH. Timbalan Presiden PKR, YAB Dato’ Seri Azmin Ali merangkap Menteri Besar Selangor dilihat cukup bersungguh-sungguh dan amat mengharapkan PAS kembali berada dalam PH. Bacaan politik waktu itu, UMNO/BN pasti lebih mudah dikalahkan dalam PRU ke 14 nanti, seandainya PAS kembali semula dalam PH.

Apabila struktur kepimpinan dan organisasi PH dimuktamadkan sekitar bulan Julai 2017, semua kebimbangan akan impak pertandingan tiga penjuru sudah menjadi reda dan ianya kurang dibincangkan. Usaha-usaha untuk terus memujuk PAS sudah dilupakan. Apatah lagi, sebelum itu banyak kenyataan-kenyataan pimpinan PAS sudah dianggap tidak relevan dengan perjuangan untuk mengalahkan UMNO/BN.

Yang cukup menghairankan kenyataan-kenyataan pimpinan tertinggi  PAS sudah tidak seperti dahulu. “PAS sudah banyak berubah”, kata kebanyakan orang. PAS lebih lunak dengan UMNO/BN ! Pemimpin PAS mahu sekadar menjadi penasihat sahaja kepada UMNO/BN, bukan lagi mengalahkan UMNO/BN dalam PRU ke 14 nanti. Strategi PAS bergerak sebagai blok ketiga cukup mengelirukan. “Apa sebenarnya yang sedang dicari oleh PAS?”, soalan yang sampai sekarang sukar dijawab oleh kebanyakan ahli-ahli tegar PAS.

Dengan struktur kepimpinan dan gerakkerja PH pada waktu ini, adalah lebih praktikal PAS kekal pada kedudukannya sekarang ini. Kemasukan PAS pada saat-saat terakhir sebelum PRU ke 14 diadakan adalah sebenarnya jerangkap samar(bobby trap) kepada PH.

Difahamkan kepimpinan tertinggi PH dalam proses terakhir untuk memuktamadkan pembahagian kerusi-kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri(DUN) yang akan diwakili oleh semua parti-parti dalam PH. Pertindihan kerusi antara parti-parti gabungan dalam PH adalah cerita silam sewaktu Pakatan Rakyat masih wujud. Kepimpinan Tertinggi (Majlis Presiden PH) berjanji isu tikam menikam dari belakang antara parti-parti dan ahli-ahli PH tidak akan berlaku lagi. Pengalaman lima calon DUN PAS berlawan dengan calon resmi Pakatan Rakyat(PR) adalah sejarah lama yang wajar dilupakan sahaja.

Seandainya berlaku secara mendadak pun perubahan pucuk pimpinan PAS pada waktu ini, kesediaan PH untuk menerima semula PAS sudah menjadi terlalu sukar kerana pembahagian kerusi-kerusi yang sudah hampir dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH itu bukan senang untuk dirungkai dan dirundingkan semula. Kesimpulannya, kita lupakan sahaja PAS dengan strategi dan gerak kerja mereka. Bukan kah PAS kaya dengan pengalaman dan semangat berjuang mereka yang tinggi. Pas hanya mencari keridhoan Allah SWT dalam berpolitik.
Persoalan-persoalan yang wajar kita utamakan sekarang ini adalah strategi-strategi ampuh buat mengalahkan UMNO/BN dalam PRU ke 14.

Kalau diimbas kembali keputusan-keputusan PRU 12 dan PRU 13. Pakatan Rakyat(PR) mendapat undi popular sebanyak 50.3 %, sedangkan BN hanya mendapat 46 %. Kalau Malaysia mengamalkan sistem “ Proportional Representation”, PR telah pun menerajui tampok pemerintahan di Putrajaya ! Negara jiran terdekat kita Republik Indonesia(RI) mengamalkan sistem ini. Itu lah malangnya rakyat Malaysia, kita masih mengamalkan sistem “First Past The Post”  dan UMNO/BN masih menerajui tampok pemerintahan Putrajaya.

Apa pun peluang untuk PH memenangi PRU ke 14 adalah cukup cerah. Ini adalah berdasarkan kepada beberapa faktor utama ekonomi dan politik. Dikesempatan ini saya sekadar ingin menyentuh faktor politik sahaja.

Seperti yang kita maklumi, keberadaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) dan Parti Amanah Negara(AMANAH) dalam PH   telah dan bakal memberikan impak yang cukup besar kepada peningkatan  undi popular PH dalam PRU ke 14 nanti.

Dengan mengambil kira bahawa parti-parti komponen PKR dan DAP dalam PH dapat menambah lagi sekitar 15 % lagi undi popular.  Amanah pula dengan mesej “ Rahmatan Lil Alamiin  dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 30 % undi PAS dalam PR dahulu dan PPBM pula dapat undi penyokong UMNO sekitar 30 %, pastinya undi popular PH boleh diandaikan mampu mencecah sekitar 70 %. Ini adalah andaian secara kasar yang pastinya memerlukan penelitian yang lebih jitu lagi !

Seandainya perkara ini benar-benar berlaku pada hari mengundi nanti, impian kita untuk mengambil alih Putrajaya bukanlah mimpi lagi.

Sebenarnya  pada waktu ini PH mempunyai terlalu banyak isu yang boleh dimainkan untuk meraih dan menambah undi. Cumanya, semua pimpinan dan penceramah-penceramah PH  perlu bekerja dengan lebih gigih, berhikmah, mesra pengundi dan penuh berstrategi .

Memang sudah diakui bahawa kepopularitian UMNO dan PAS pada waktu ini sedang menurun. Sewajarnya PH dapat mengambil manafaatnya. Dalam suasana pilihanraya demokrasi, meraih undi adalah perkara asas. Pihak mana yang lebih cepat dapat meyakinkan pengundi-pengundi , maka pihak dia lah yang akan menang.

Tawaran bajet alternatif PH tahun 2018 yang diumumkan sebelum pembentangan Bajet BN adalah suatu amalan yang cukup baik dan wajar. Cumanya sampai sekarang PAS masih gagal mengemukakan Bajet mereka. Sesungguhnya rakyat dan pengundi-pengundi dapat menilai pihak mana kah yang benar-benar peka untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pimpinan PH serta ahli-ahli parti sewajarnya tidak perlu terlalu gusar untuk menyertai PRU ke 14 walau pun ianya nanti dibayangi oleh pertandingan tiga penjuru. Berbekalkan kesefahaman dan kesepakatan yang kental , mantap dan strategi yang tepat, PH boleh memenangi PRU ke 14 itu nanti dengan penuh bergaya. Insyaa Allah.

Sekian, Terima Kasih.



Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan