Kerja dengan Dr Mahathir seperti bermimpi, kata Wan Azizah

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, orang sama yang pernah menyingkirkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet 20 tahun lalu, umpama “mimpi”.

“Ia seperti bermimpi. Apakah ia benar-benar berlaku?” katanya dipetik akhbar The Sydney Morning Herald (SMH) semalam.

“Tetapi ya, ia benar dan bagi saya ini menunjukkan betapa teruknya keadaan sehinggakan bekas perdana menteri yang memilih Datuk Seri (Najib Razak) sebagai perdana menteri, sampai ke tahap beliau sendiri (Dr Mahathir) perlu menjatuhkan orang yang dipilihnya.”

Beliau berkata, walaupun sukar memenangi pilihan raya umum akan datang, tetapi rakyat Malaysia sudah membuat keputusan untuk mengundi demi perubahan.

Pada 1998, Dr Mahathir memecat Anwar daripada Kabinet dan Umno atas dakwaan salah laku moral.
Pada April 1999, Anwar dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun atas kesalahan rasuah dan 9 tahun penjara untuk kesalahan liwat pada Ogos 2000. Beliau dibebaskan pada September 2004.

Kini, Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun kerana sabitan liwat, dijangka dibebaskan 8 Jun ini.

Anwar dan Dr Mahathir bekerjasama dalam Pakatan Harapan (PH), gabungan 4 parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, PPBM, DAP dan Amanah.

PH yang mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara, sekiranya memenangi pilihan raya umum akan datang, bercadang mendapatkan pengampunan untuk Anwar bagi membolehkan beliau mengetuai kerajaan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan