Pas parti panas baran?


KOTA BHARU - BN Kelantan melabelkan Pas sebagai sebuah parti yang sering mewujudkan pergaduhan khususnya sepanjang 28 tahun menerajui pentadbiran negeri ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Md Alwi Che Ahmad memberi contoh bagaimana kerajaan negeri yang ada hari ini hasil kemarahan kepada BN yang menyebabkan bergabungnya Pas dan Semangat 46, pada 1990.

“Pas berkawan dengan Semangat 46, lepas tu bercerai dia marah. Sebelum itu berkawan dengan BN, pun dia marah.

“Kemudian berkawan dengan DAP, bercerai dia marah. Lepas itu dengan Amanah, marah juga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Kota Bharu, hari ini.

Md Alwi yang juga Adun Kok Lanas berkata, apa yang ditonjolkan parti tersebut jauh menyimpang dari dasar membangun bersama Islam diperjuangkan oleh mereka apabila kerap kali bermusuhan dengan parti-parti lain.

“Macam mana kerajaan yang mentadbir sebuah negeri boleh marah sana, marah sini, baloh (bergaduh) dengan orang itu orang ini...ini tak betul (kerana) bila kita jadi kerajaan mesti pamerkan perkhidmatan terbaik.
“Malah kalau tengok ucapan Timbalan Menteri Besar (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) penuh kemarahan. Terbaru beliau herdik Umno dengan menggunakan perkataan kasar,” katanya.

Justeru kata beliau, sekiranya diberi peluang kembali menerajui negeri ini, BN tidak akan meneruskan pendekatan negatif seperti itu sebaliknya tampil dengan konsep agama yang membawa kerahmatan dan kesejahteraan bagi seluruh alam.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan