RUU Antiberita Tidak Benar cadang denda sehingga RM500,000

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu disabitkan bersalah bawah Rang Undang-Undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara 10 tahun, menurut RUU berkenaan.

Menurut RUU itu, jika kesalahan berterusan selepas seseorang disabit bersalah, denda selanjutnya adalah sebanyak RM3,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

Akta berkenaan mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain.

Akta itu akan digunapakai jika sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.

Selain itu, untuk individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan berita tidak benar walaupun kesalahan itu bukan dilakukan oleh rakyat Malaysia dan dilakukan di luar negara, tindakan juga boleh dikenakan bawah akta tersebut.

Sebelum ini, Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU tersebut untuk bacaan kali pertama setelah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pihak pembangkang sudah meminta kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas Parlimen untuk memformulasi RUU itu dan pada 4 Februari, Azalina dilaporkan berkata pihak berkepentingan dalam RUU itu adalah ahli organisasi bukan kerajaan, peguam, penyarah dan juga ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang.

Ancaman ke arah penggunaan undang-undang itu sudah pun dibuat, yang terbaru adalah daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang berkata sebarang maklumat berkaitan 1MDB, yang belum disahkan kerajaan akan dianggap sebagai berita palsu.

Katanya, berita palsu adalah maklumat yang disahkan tidak benar, terutamanya oleh pihak berkuasa atau pihak yang dikaitkan dalam berita itu.

Dua minggu lepas, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, sejumlah 91 kes melibatkan penyebaran dan penerbitan berita palsu di laman sosial media direkod tahun lepas.

Sebanyak 54 kes diselesaikan, sementara itu, 11 kes lagi dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan