Salahuddin tak tolak kemungkinan serah Pulai pada BERSATU

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub tidak menolak kemungkinan melepaskan kerusi parlimen Pulai di Johor kepada rakan gabungan, parti BERSATU.

Diputuskan bertanding di Pulai, Salahuddin mengulas kemungkinan beliau sebaliknya bertanding di Tanjung Piai.

Berdasarkan rundingan terkini agihan kerusi, ia telah diputuskan bahawa AMANAH bertanding di Pulai manakala BERSATU akan bertanding di Tanjung Piai.

Bagaimanapun, Salahuddin tidak menolak kemungkinan bertanding di tempat kelahirannya - Tanjung Piai.

"Ini boleh berlaku. Di saat-saat akhir kemungkinan boleh tukar suka sama suka," katanya

Seperti presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan beliau bersedia bertanding di mana-mana - sama ada untuk mempertahankan Pagoh atau berpindah ke Muar - Salahuddin berkata begitu jugalah dengan dirinya.

"Saya orang Johor dan agak senior dalam politik, saya pun boleh bertanding mana-mana sahaja dengan syarat perpindahan kawasan itu dipersetujui oleh kepimpinan Pakatan Harapan.

"Dengan semangat begitu, tak ada masalah tukar kerusi dengan tidak menjejaskan jumlah kerusi masing-masing.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa beliau telah melakukan banyak kerja di Pulai.
"Ya (Saya lebih suka Pulai), (tetapi) dalam politik tidak ada yang muktamad, tetapi Insya-Allah saya akan bertanding di Pulai," katanya.

Sebelum pilihan raya umum lalu, Salahuddin merupakan ahli Parlimen Kubang Krian selama dua penggal.

Dalam pilihan raya umum ke-13, bekas naib presiden PAS itu kalah kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk kerusi Parlimen Pulai.

Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini menyatakan minatnya untuk bertanding di tempat kelahirannya di Pulai.

Beliau kini aktif di Muar dan dikatakan akan dicalonkan berdepan dengan MP Muar, Datuk Razali Ibrahim, yang juga seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan