Staf 9 agensi boleh mohon undi pos

KUALA LUMPUR: Anggota 9 jabatan serta agensi yang layak mengundi dan disahkan majikan perlu bertugas pada hari mengundi boleh memohon sebagai pengundi pos dalam negara sehingga 5 hari sebelum hari penamaan calon, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Anggota jabatan dan agensi terbabit adalah petugas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Kesihatan (hospital dan klinik kerajaan sahaja); Sukarelawan Polis; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar sahaja) boleh memohon undi pos.

“Mereka yang termasuk dalam kategori tersebut boleh memohon dengan menggunakan Borang 1C yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang SPR.

“Permohonan melalui Borang 1C yang telah diisi lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya melalui e-mel kepada upup@spr.gov.my atau melalui faks ke 03-88810424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369.

“Atau (mengemukakan permohonan) melalui pos ke alamat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Menara SPR, No 2 Jalan P2T, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya (u.p. Unit Pengurusan Undi Pos),” menurut SPR dalam catatan #infopru14 di laman Facebook rasmi suruhanjaya itu di www.facebook.com/Pilihanrayaumumke14/.

Setiap permohonan yang diterima akan diproses dan pemohon dimaklumkan oleh SPR mengenai status permohonan mereka itu sama ada diluluskan atau sebaliknya.

“Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau emel ke upup@spr.gov.my,” menurut catatan itu.

Satu lagi kategori pengundi pos adalah kategori petugas pilihan raya, polis serta tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal, dan petugas media boleh membuat permohonan melalui Borang 1A.

Permohonan melalui Borang 1A yang lengkap diisi perlu dihantar ke pejabat pegawai pengurus di bahagian pilihan raya masing-masing. Tarikh tutup permohonan kategori ini adalah pada hari penamaan calon.

Sementara itu, bagi permohonan pengundi pos luar negara warganegara Malaysia yang diterima selepas 12 tengah malam pada hari pembubaran Parlimen tidak akan diproses, kata SPR lagi.

Syarat bagi memohon kemudahan mengundi secara pos mestilah pemilih berdaftar kategori pengundi biasa atau bukan pengundi tidak hadir luar negara dan pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang ke-13.

Pemohon juga perlu menetap di luar negara kecuali bagi mereka yang tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia tidak layak diberikan kemudahan untuk mengundi melalui pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian.

Menurut SPR, permohonan hendaklah dikemukakan dengan menggunakan Borang 1B – Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang SPR.

“Permohonan yang telah diisi lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya di alamat dan e-mel yang sama seperti permohonan mengundi pos dalam negara tetapi dengan catatat (u.p. Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara)”, menurut SPR di laman Facebooknya.

“Setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan status permohonan itu sama ada diluluskan atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH) di luar negara adalah pengundi pos dan oleh itu tidak perlu memohon,” menurut SPR.

SPR turut menasihatkan semua warganegara Malaysia yang telah berdaftar sebagai PTH Luar Negara untuk mengemas kini alamat terkini di luar negara melalui Sistem Aduan dan Pertanyaan SPR di portal rasmi SPR.

“Permohonan kemas kini alamat terkini di luar negara hendaklah dilampirkan (dimuat naik) bersama salinan pasport sebagai pengesahan pengenalan diri oleh pemohon.

“Pengemaskinian alamat terkini di luar negara adalah bagi tujuan penghantaran kertas undi pos untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan