GST pada kadar sifar mulai 1 Jun, umum Kementerian Kewangan

KEMENTERIAN Kewangan Malaysia semalam memaklumkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan pada kadar sifar (0) peratus mulai 1 Jun 2018.

Ini bermakna GST secara langsung akan dimansuhkan pada 1 Jun depan dan terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak.

Penetapan tersebut tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenggarakan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecualikan daripada GST.

Menurut kenyataan itu lagi, semua peniaga yang berdaftar perlu mematuhi penetapan kadar sifar ini.

Pada masa yang sama peniaga yang berdaftar juga masih tertakluk kepada semua peraturan semasa yang ditetapkan antaranya berkenaan pengeluaran invois cukai, penghantaran penyata cukai di dalam tempoh bercukai yang ditetapkan dan tuntutan kredit cukai input.

Peniaga juga perlu memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 setiap masa.

Dalam perkembangan sama hari ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan kerajaan menghentikan kutipan GST.

Pemansuhan GST adalah sebahagian daripada manifesto kerajaan baru Pakatan Harapan yang berjanji akan melaksanakannya dalam tempoh 100 hari.

Hari ini menandakan hari ketujuh gabungan PH berkuasa selepas ia menamatkan pemerintahan 61 tahun BN yang menerajui negara sejak kemerdekaan sehingga pilihan raya umum 9 Mei lalu.






Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan