Lantikan menteri: Mahasiswa ucap terima kasih kerana patuhi janji manifesto

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merakamkan setinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang menarik balik pengumuman beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan semalam.

Reaksi Tun Mahathir jelas menunjukkan komitmen kerajaan baharu Persekutuan bagi melunaskan segala janji yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Demikian kata Presiden PKPIM, Muhammad Khair Sujud dalam kenyataannya hari ini.
Kata beliau, PKPIM juga mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat kepada YB Dr Maszlee Malik atas pelantikan sebagai Menteri Pendidikan.

“PKPIM melihat pelantikan YB Dr Maszlee adalah suatu penghargaan kepada seluruh ahli akademik bagi sama-sama terlibat dalam usaha mengangkasa bidang pendidikan di Malaysia.

“PKPIM mengingatkan kerajaan bagi memastikan segala janji yang termaktub dalam Janji ke-49 dan ke-50 Manifesto PH dilaksanakan sepanjang tempoh mandat kerajaan baharu ini.

“PKPIM juga menggesa beberapa perkara berkaitan pendidikan negara seperti Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU 1971), Akta 174 dan Dual-Language Programme dikaji semula serta-merta,” kata beliau.

Tambahnya, PKPIM juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Menteri Pendidikan baharu dan pihak-pihak yang terlibat bagi memastikan sistem pendidikan negara bertambah baik dan kondusif untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan