Majlis Presiden Harapan platform terbaik Anwar


KUALA LUMPUR - Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menggunakan platform Majlis Presiden Harapan sebagai medium pemantau bagi kerajaan baharu itu.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Anwar sebagai barisan Top 6 Majlis Presiden Harapan pada 17 Mei lalu.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, keanggotaan Anwar dalam barisan utama Majlis Presiden memudahkan beliau membuat kritikan dan saranan terhadap kepimpinan hari ini secara dalaman.

Menurutnya, sebagai Top 6 dalam Majlis Presiden Harapan, Anwar akan sentiasa bertemu dan berbincang bersama Mahathir; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Anwar juga boleh menggunakan platform forum-forum rasmi yang dihadirinya untuk mengutarakan pandangan dan nasihat kepada kerajaan Harapan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Marthada mengingatkan Anwar supaya tidak mengkritik pimpinan dan kerajaan secara terbuka dalam tempoh terdekat ini.

“Paling penting dalam tempoh terdekat ini, beliau harus mengkritik secara dalaman sahaja supaya tidak timbul persepsi, kononnya pentadbiran kerajaan baharu ini tidak mendapat sokongan penuh daripada pemimpin Harapan sendiri.

“Nak kritik boleh, tapi memandangkan beliau bakal perdana menteri, dibimbangi kerajaan hari ini akan dianggap tidak kuat. Biasalah setiap kritikan akan menimbulkan persepsi kurang baik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Anwar juga boleh berfungsi sebagai penganalisis politik, bagaimanapun statusnya lebih tinggi kerana beliau bekas timbalan perdana menteri dan bakal perdana menteri.

“Jadi, impak pemantauan dan kritikan Anwar lebih berkesan kerana status dipegangnya,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan