Nik Omar ikrar terus perjuangan bapa ke atas hudud

KOTA BHARU: Nik Omar Nik Abdul Aziz berjanji akan meneruskan perjuangan arwah bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke atas hudud dan Rang Undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, jika menang pada 9 Mei ini.

Anak ke-2 bekas mursyidul am PAS itu yang bertanding atas tiket PKR di kerusi negeri Chempaka berkata, sebagai umat Islam, beliau wajib memperkasakan undang-undang Islam yang turut diperjuangkan bapanya semasa menjadi menteri besar Kelantan sejak 1990.

“Bukan sahaja hudud kita akan perjuangkan, kita sebagai hamba Allah, tanggungjawab kita patuh kepada syariah, patuh kepada perintah Allah,” katanya ketika ditemui di Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka, hari ini.

Nik Omar, yang merupakan abang kepada calon PAS di Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh, menjadi sasaran beberapa pemimpin PAS, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengkritiknya kerana meninggalkan perjuangan parti Islam itu yang pernah dipimpin bapanya.

Perbahasan RUU 355 ditangguhkan sejak tahun lalu, selepas Hadi pertama kali membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat pada Mei 2016.

RUU 355 mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan