Peguam Negara diminta bercuti - PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan oleh Peguam Cara Negara, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata Mohamed Apandi diberikan cuti berikutan terdapat beberapa aduan tentangnya walaupun belum ada sebarang laporan rasmi dibuat ke atas tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Dengan ketiadaan Mohamed Apandi, Dr Mahathir berkata tugas-tugas Peguam Negara termasuk menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan esok berhubung permohonan mendapatkan pengampunan diraja kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan dihadiri oleh Peguam Cara Negara.

“Peguam Cara Negara adalah seseorang yang memang pun berkuasa menjalankan tugas Peguam Negara.”

“Kedudukan AG sukar sedikit kerana beliau baru diberikan kontrak dan perlu mengikut undang-undang. Tentang soal pergantungan tugas, ia memerlukan beberapa tindakan dan sebab itu Peguam Negara diberi cuti.”

“Sementara bercuti, Peguam Cara Negara boleh mengambil alih tugasnya dan akan melaksanakan tugas-tugas berkenaan. Jadi, kita (kerajaan) masih ada Peguam Cara Negara yang boleh menjalankan tugas Peguam Negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarakat dengan ketua-ketua setiausaha kementerian di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata sekiranya kerajaan menerima laporan polis secara rasmi mengenai tuduhan-tuduhan terhadap Mohamed Apandi maka siasatan boleh dijalankan, yang berkemungkinan, pada masa itu, Peguam Negara boleh digantung tugas atau mengambil tindakan lain termasuk mengenakan sekatan keluar dari negara.

Ditanya sama ada Mohamed Apandi diminta mengambil cuti oleh kerana terdapat beberapa cubaan untuk menutup kes, beliau berkata: “Ya, terdapat aduan terhadap AG (peguam negara).

Bagaimanapun tiada laporan rasmi. Atas dasar itu, kami memberi beliau cuti”

Ditanya sebab Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Dzulkifli Ahmad melepaskan jawatannya pagi ini, Dr Mahathir berkata itu adalah pilihan beliau.

“Selepas siasatan, beliau mungkin hanya digantikan, atau beliau boleh meletak jawatan, ambil cuti, pergi makan angin, buat sementara waktu. Jika siasatan mendapati terdapat kes terhadapnya, kami akan mengambil tindakan, tegas beliau.

Ditanya sama ada lebih ramai pegawai atau KSU yang akan digantung tugas berikutan aduan salah laku, Dr Mahathir berkata buat masa ini, kerajaan perlu mendapatkan laporan yang sewajarnya sebelum bertindak menggantung tugas mana-mana pegawai.

“Saya mahu melakukannya berdasarkan peraturan dan prosedur,” katanya.

“Saya mahu mengambil tindakan secepat mungkin. Sebab itulah saya bekerja sepanjang hari dan dua hari lepas, saya percepatkan prosesnya. Saya tidak dapat meramalkan tempoh siasatan itu akan siap. Saya harap dapat mengambil langkah konkrit dalam masa seminggu, katanya.

Tanpa mendedahkan nama-nama yang disenaraihitamkan, Dr Mahathir berkata selain bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tindakan sekatan keluar negara juga dikenakan kepada beberapa orang yang lain.

Katanya pasport mereka tidak ditarik balik tetapi Jabatan Imigresen Malaysia sudahpun dimaklumkan bahawa kumpulan itu tidak dibenarkan keluar dari negara.

Ditanya sama ada pemimpin terbabit disenaraihitamkan disebabkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan kes rasuah yang lain, Dr Mahathir berkata: “Ini bukanlah kes senarai hitam.

Tetapi mereka disiasat kerana pelbagai kesalahan sehingga orang awam melaporkan salah laku mereka. Saya belum dimaklumkan siapakah mereka ini oleh penyiasat,
“Kami akan mengambil tindakan jika perlu untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara ini, ketika siasatan masih berjalan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan