Ramalan Daim: Kelantan, Perak, Kedah dalam tangan PH

PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menyaksikan kekalahan besar di Kedah dan Perak manakala PAS mungkin sekali kalah di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Daim, yang secara terbuka menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad dan calon-calon gabungan itu berkata, pemimpin PAS di Kelantan dilihat terlalu dekat dengan Umno.

Dalam temubual dengan Nanyang Siang Pau, beliau berkata Umno sentiasa mengambil kesempatan ke atas PAS dan kemudian menyingkir parti Islam itu apabila tidak lagi diperlukan.

Beliau berkata bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju hubungan rapat dengan Umno, dan anak kepada 3 bekas pemimpin PAS memilih untuk meninggalkan parti itu.
“Ada konflik dalam parti itu,” katanya. “Rakyat (di Kelantan) tidak boleh terima PAS sepertimana ia sekarang.”

Sementara itu di Kedah dan Perak, Daim berkata pemimpin yang betul boleh melonjak PH ke arah kemenangan.

Beiau berkata jika kempen Dr Mahathir di Kedah dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, di Perak dikendalikan dengan baik, BN mungkin sekali tewas.

Daim pada Selasa mendapat liputan apabila dia menggesa rakyat memilih PH pada 9 Mei ini. Beliau berkata ini bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang, dan yakin Dr Mahathir boleh menyelesaikan hutang negara.

“Jangan salah pilih kerana derita seumur hidup. Pangkah mata, jahanam pilih dacing. Sebab dacing tipu,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Merbok itu berkhidmat sebagai menteri kewangan dalam pentadbiran Dr Mahathir dari 1984 hingga 1991, dan dari 1999 hingga 2001.

Dalam temubual dengan Nanyang Siang Pau, beliau berkata BN mempunyai peluang 50-50 untuk mempertahankan Johor dan Sabah, walaupun dia tidak merasakan gabungan itu boleh merampas Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau berkata PH akan berdepan pertarungan sengit di Melaka tetapi ada peluang kecil untuk menang di Negeri Sembilan dengan calon menteri besar yang betul.

Di peringkat nasional pula, beliau berkata peralihan 10% undi memadai untuk membawa masuk kerajaan baharu, walaupun tanpa “Tsunami Melayu”.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan