AMANAH merupakan gerakan politik Islam masa depan?

Oleh PHAR KIM BENG

AMANAH bertanding 34 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu, satu daripadanya di Sabah, sementara enam kerusi di Sarawak. Walaupun AMANAH baru berusia hampir tiga tahun, namun ia menang 11 kerusi parlimen. Ini merupakan pencapaian yang sangat menggalakkan. Lebih membanggakan melalui kejayaan itu, Presiden AMANAH, Tuan Haji Mohamad Sabu kini Menteri Pertahanan, Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pengarah Kajian Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad menjadi Menteri Kesihatan.

Pada masa sama, AMANAH menang 34 kerusi negeri bagi meraikan kejayaan peringkat negeri dan Tuan Haji Adly Zahari telah dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka. AMANAH, dalam lain perkataan, berjaya mencipta gelombang di Melaka, Perak dan Johor juga, kesemuanya kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dari sudut ini, tidak ada parti Islam di Malaysia, dengan usia semuda AMANAH, pernah mendapat kejayaan seperti ini.Tidak juga Pas atau pada satu peringkat Berjasa di Kelantan.

Justeru, Professor Ahmad Fuzi dari Universiti Sains Malaysia (USM) salah apabila beliau menegaskan bahawa AMANAH tidak akan mendapat tempat pada masa hadapan dalam kalangan orang Melayu, kecuali jika versi Islam AMANAH berkait rapat dengan elemen Melayu.

Mengapa saya berkata bahawa pandangan Fuzi sangat salah? Ia kerana bacaan beliau tentang potensi AMANAH terikat dengan andaian bahawa orang Melayu tidak mampu keluar daripada mentaliti yang tertanam sekian lama, sama juga orang Melayu tidak dapat memisahkan dirinya daripada menganggap Umno sebagai pelindung Islam.

Namun, keputusan mengejutkan pada 9 Mei 2018 lalu menunjukkan bahawa masyarakat di Semenanjung Malaysia, bahkan luar daripada itu, berupaya mencabar hegemoni Umno dan Pas hari ini. Dalam lain perkataan, orang Melayu boleh menerima penafsiran Islam yang lebih progresif dan lebih urban tentang Islam sebagai Rahmatan Lil’alamin.

Terdapat lima lagi kesilapan pada hujah Ahmad Fuzi. Pertama sekali, sebelum tibanya 9 Mei, AMANAH telah berjaya merampas enam kerusi parlimen daripada Pas, malah sebelum ura-ura pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bermula lagi. Kesemua enam orang itu merupakan bekas pemimpin Pas, dan mereka serta ahli AMANAH yang lain, tidak dituduh belot atau menghianati apa-apa tanggungjawab oleh rakyat biasa.

Pengundi, sama ada yang beragama Islam atau sebaliknya, faham bahawa keputusan yang dibuat oleh calon-calon ini untuk bertukar parti di tengah perjalanan, adalah kerana Pas sudah mula bekerjasama rapat dengan Umno dan telah keluar dari Pakatan Rakyat (PR). Hal ini telah dibuktikan secara nyata apabila semua mereka itu, menang dalam PRU14 lalu, kecuali Datuk Raja Kamarul Bahrin yang bertanding di Kuala Terengganu, tempatnya sendiri. Bahkan mereka ini menang dengan majoriti yang lebih besar.

Boleh dikatakan, keupayaan AMANAH mendapatkan enam daripada 21 orang ahli parlimen Pas untuk bertukar parti itu sudah dikira sebagai suatu pencapaian politik dari sudut tersendiri.

Sesetengah daripada Ahli Parlimen ini merupakan mereka yang cukup terpelajar dan pakar strategi juga, antaranya Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Dr. Dzulkifli Ahmad. Pada masa sama, terdapat juga pemimpin akar umbi seperti Mazlan Aliman. Mazlan Aliman, Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), salah seorang pengasas AMANAH, arif tentang isu berkaitan Felda dan FGV, keduanya merupakan kunci utama untuk memahami bagaimana 54 kawasan parlimen membabitkan Felda boleh dibantu.

Kedua, keupayaan mendapatkan tiga anak lelaki bekas pemimpin utama Pas menyertai AMANAH memberikan anjakan paradigma utama. Nik Omar adalah anak lelaki Almarhum Nik Aziz, manakala Dr. Mujahid Yusof pula adalah anak Almarhum Yusof Rawa. Faiz Fadzil, yang menjadi Adun untuk penggal pertama dalam 2018, datang daripada keluarga Almarhum Fadzil Noor. Kesemua mereka, bersama membantu menambahkan tarikan kepada AMANAH sama ada di lapangan atau melalui media sosial.

Ketiga, AMANAH tidak menarik diri daripada Pas hanya kerana ingin berpisah. Ahli AMANAH cukup percaya akan idea bahawa semangat Islam boleh mengatasi perbezaan kaum, agama dan kepercayaan. Dalam perkataan yang lain, AMANAH percaya mengenai perjuangan demi kebaikan bersama, bukan hanya memperjuangkan untuk menobatkan undang-undang Islam seperti yang telah lama ditekankan oleh Pas.

Keempat, AMANAH mengamalkan apa yang disyarahkannya secara terbuka iaitu, “fastabiqul khairat”, atau berlum-lumba membuat kebaikan tanpa mengira latar belakang kaum. Ini merupakan pendekatan yang selari dengan bacaan dinamik Maqasid al-Shariah yang dijelaskan oleh hasil kerja Nik Aziz sendiri dan Professor Hashim Kamal dari Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS).

Metodologi ini bahkan konsisten dengan Islam sebagai “rahmat kepada manusia” dan dengan itu ia akan mendapat sambutan yang sangat baik dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bermula dari Kangar hingga ke Kota Kinabalu. Ia bahkan boleh diperkenalkan dan digunapakai di Barat, malah China, dan negara-negara yang berusaha bekerjasama dengan komuniti Islam masing-masing.

Kelima, AMANAH adalah parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) dan PH mempunyai majoriti kukuh 123 kerusi di parlimen. Hal ini berlaku apabila Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 79 kerusi.

Bahkan, daripada 90.3 peratus kerusi parlimen yang pernah diperolehi dalam 2004, Umno dan BN kini hanya memperoleh 36 peratus dalam 2018.

Dalam tempoh 14 tahun, belum sampai satu generasi, Umno dan BN telah kehilangan 1/3 daripada keseluruhan simpanan undi tradisinya kepada PH.

Ironisnya, Bersatu dan AMANAH adalah parti baharu, sementara PKR ditubuhkan dalam 1998. Parti paling lama ialah DAP yang mula bersaing dalam pilihan raya Malaysia dalam 1963. PH, seperti yang dapat dilihat, adalah apa yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia sebenarnya: harapan baharu, cara bekerja yang baharu. Paling penting, politik Islam sivil dan global, seperti yang diamalkan oleh AMANAH boleh menjadi platfom masa depan untuk dunia.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan