Dilema DSAI Sekeluarga Pasca Pru14

Oleh Hayar Hassan

Genap lah sebulan lebih  pengundi-pengundi berdaftar Malaysia membuat keputusan dalam PRU 14. Kehangatan berpolitik partisan sudah mereda. Cumanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perlis masih belum menamakan barisan Exco-Exconya. Kerajaan Pakatan Harapan(PH) Putrajaya juga semacam memberikan ruang dan masa yang agak panjang untuk rakyat berteka-teki perihal barisan lengkap Kabinet Putrajaya. Mungkin Perdana Menteri ke 7 Malaysia ,YAB Tun Dr Mahathir tidak kecukupan waktu untuk menuntaskannya atau pun sebenarnya, beliau cukup berhati-hati. Apa pun sama-sama lah kita tunggu.

Dalam sejarah politik Malaysia, penglibatan politik secara keluarga adalah lumrah. Seusai PRU 14, kalau kita amati, sememangnya terdapat ahli-ahli sesebuah keluarga terlibat secara aktif dalam politik sepenuh masa. Contoh paling ketara adalah keluarga YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, anakanda beliau YAB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir adalah menjawat jawatan Menteri Besar untuk kali kedua Kedah Darul Aman !

Keluarga YB Saudara Lim Kit Siang juga begitu. Anakanda beliau sudah dilantik sebagai Menteri Kewangan, suatu jawatan yang cukup penting. Namun Saudara Lim Kit Siang kekal sebagai Ahli Parlimen biasa. Nasib baik lah, Puan Betty Chew, isteri YB Lim Guan Eng sudah mengambil keputusan untuk bersara daripada politik.

Begitu juga dengan keluarga YB Saudara Govind Singh Deo, Menteri Komunikasi Dan Multi Media, Abangnya YB Ramkarpal Singh Karpal Singh adalah Ahli Parlimen P 51, Bukit Gelugor dan adik beliau, YB Jagdeep Singh Deo Karpal Singh, ADUN N 29, Datok Keramat kekal sebagai Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Keluarga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat(PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) juga tidak terkecuali. Isteri DSAI, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail(DSWAWI) Ahli Parlimen P100 Pandan sudah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia serta Menteri Kebajikan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita dan anakanda beliau YB Nurulizah Anwar ,menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh. Itu lah sebahagian daripada warna warni politik Malaysia seusai PRU 14, cukup menarik dan mengundang pelbagai persepsi masyarakat.

Tulisan saya kali ini adalah sekadar ingin memfokuskan delima(kalau boleh digunakan istilah ini- pohon maaf kalau ianya tidak tepat) keluarga DSAI, tokoh Reformasi semenjak 1998, 20 tahun lalu.
DSAI, kalau mengikut jadual hanya akan dibebaskan daripada penjara pada 8 Jun 2018, dua hari lepas. Namun atas usaha gigih YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke 7, DSAI dibebaskan dengan lebih awal serta diberikan Pengampunan Penuh oleh Yang DiPertuan Agong, Sultan Mohammad Ke V. Ini bermakna dari sudut Perlembagaan Malaysia, DSAI telah boleh kembali berpolitik seperti biasa, tiada sebarang sekatan! Itu lah faktanya.

Sekitar kemungkinan YB Nurulizah diberikan tempat dalam Kabinet YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, DSAI telah dengan segera menolak akan kemungkinan itu terjadi. Boleh kita fahami bahawa DSAI ingin menghindari tuduhan kronism terjadi pada PH, walau pun YB Nurulizah berkelayakan untuk menggalas suatu tanggongjawab yang besar. Rasanya untuk PRU 15, YB Nurulizah wajar bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) sahaja, bagi membolehkan beliau memegang jawatan peringkat negeri, seperti YAB Dato’ Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah Darul Aman !

DSAI juga telah membayangkan bahawa beliau ingin isterinya DSWAWI terus berada dalam kabinet untuk tempoh masa YAB Tun Dr Mahathir Mohamad masih menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia. Biarlah beliau sekadar menjadi Ketua Umum PKR dan Ahli Majlis Presiden PH sahaja. Saya rasa ini adalah suatu pilihan terbaik dan tepat . Atau pun seandainya berlaku sebarang kekosongan kerusi Parlimen, beliau boleh memikirkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) dan kekal sekadar menjadi Ahli Parlimen sahaja.

Apabila YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersedia untuk bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia, barulah DSAI mengambil alih jawatan Perdana Menteri itu dengan penuh tertib tanpa sebarang drama ! Mungkin selepas itu wajar juga DSWAWI bersara daripada politik. YB Nurulizah pula boleh terus kekal memegang jawatan di peringkat negeri.

Saya berpandangan ini lah yang dimahukan oleh rakan-rakan DSAI sendiri dalam PH. Episod-episod hitam gelombang Reformasi tahun 1998 perlu dihindarkan sahaja dan biarkan ianya sekadar terukir dalam lipatan sejarah Malaysia ! Waktu sekarang, semua pendokong PH perlu bekerja keras untuk membina semula Malaysia Baru.

Saya amat bersetuju dengan hasrat DSAI sebagai Prime Minister In waiting untuk menyibokkan dirinya dengan undangan-undangan memberikan kuliah dan talk di luar Negara dalam tempoh menunggu ini.

Mungkin DSAI juga boleh meneruskan usahanya untuk menambahkan kelayakan akademiknya hingga ke peringkat Doktor Falsafah atau pun cuba menulis buku.

Kita sebagai orang Islam sewajarnya lah membiarkan takdir Ilahi menentukan apa yang bakal terjadi kepada diri kita kerana Rukun Iman Ke 6 adalah Percaya Kepada Qada Dan Qadar Allah. Dalam hal ini saya teringat akan ungkapan penulis dan juga pelakon Ketika Cinta Bertasbih, filem dan sinetron box-office Indonesia, Habiburrahman El Shirazi@Kang Abik.

“ Mencintai dan dicintai itu adalah wajar kerna ianya sifat fitrah manusia, namun demikian pernikahan itu akhirnya adalah ketentuan Allah SWT, jodoh yang kita dambakan itu akan tetap datang seandainya ianya telah ditetapkan oleh Allah SWT, walau pun terpaksa menunggu untuk sekian waktu. Biarkan lah pengakhirannya terjadi secara alami ,seiring berjalannya waktu”.

Begitulah akhir ceritanya dalam filem tersebut, Khairul Azam Abdullah dan Ana Altafunnisa yang masing-masing mencintai antara satu sama lain pada perkenaalan pertama akhirnya bertemu juga jodoh mereka setelah melalui episod-episod yang penuh dramatik dan penuh dengan linangan air mata.

Begitu lah juga pandangan Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Pahang yang juga rakan karib DSAI dalam sebuah wawancara Astro Awani baru-baru ini. Beliau menyatakan bahawa kita boleh merancang dan berusaha dalam mengejar impian kita dalam politik, tetapi akhirnya Izin Allah SWT jua yang menentukan segala-segalanya. Takdir Illahi itu ada hikmahnya, walau pun ianya dilihat agak pahit.















Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

2 comments:

  1. Saudara, ejaan yang betul ialah DILEMA... Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas teguran Anda, mungkin saya perlu berdamping dengan Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka.

      Padam