Jatuh ditimpa tangga, BN perlu 2 penggal bangkit semula

Oleh

BARISAN Nasional (BN) yang jatuh ditimpa tangga perlu sekurang-kurangnya 10 tahun untuk pulih dan jadi pencabar yang serius sekali lagi dalam medan politik, kata penganalisis.

Selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), gabungan yang asalnya ada 13 parti komponen kini tinggal berempat – Umno, MCA, MIC dan Gerakan.

Namun untuk pulih semula, Umno tidak lagi boleh dibiarkan menjadi parti dominan dalam kerjasama politik itu, kata pensyarah sains politik Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Ini masa untuk muhasabah diri. Sudah ada pandangan yang parti komponen tidak seharusnya membiarkan Umno jadi terlalu dominan sejak awal lagi.

"Kalau BN mahu bertahan, ia mesti membuka jalan kepada penyegaran dan pembaharuan dalam parti komponen. Ia mungkin perlu tukar struktur kepimpinan dan kuasa pemutus dalam gabungan itu," katanya

Tunku Mohar menarik perhatian kepada struktur asal Perikatan, parti asal BN sebelum Merdeka, yang memberi ruang lebih luas kepada parti komponen untuk bersuara.

BN didirikan pada 1973 dan sehingga PRU14 dibentuk oleh 13 parti komponen. Gabungan itu kini tinggal empat parti selepas semua rakannya di Sabah dan Sarawak meninggalkannya selepas kekalahan dalam pilihan raya itu.

Umno, tunjang gabungan itu, selama ini menguasai segala-galanya. Ini menyebabkan parti lain yang juga berasaskan kaum sering dikecam apabila Umno memainkan retorik "ketuanan Melayu", termasuk apabila sesetengah pemimpin menggelar kaum lain sebagai "pendatang".

Pemerhati politik berkata pilihan raya sejak 2008 menunjukkan trend semakin banyak rakyat menolak politik berasaskan kaum BN, beralih kepada pakatan pembangkang sebelum ini yang lebih inklusif walaupun ada parti-partinya yang dikuasai satu kaum.

"Apa yang penting ialah persepsi adanya kesamarataan dalam proses BN membuat keputusan. Tetapi BN bagaimanapun selama ini dikuasai oleh Umno," kata Tunku Mohar.

Selepas terpukul dalam PRU14, BN wajar menimbang untuk membubarkan gabungan itu, kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
"Jenama BN sudah tercemar dan ia patut dibubar, dan dijenamakan semua sebagai sesuatu yang baru. Bagaimanapun, penjenamaan semula tidak memberi makna apa-apa jika budaya politik dan kepimpinannya masih sama.

"Tidak boleh macam kata pepatah Inggeris, tuak lama dalam botol baru," katanya.

Pilihan lain BN

Tunku Mohar juga tidak percaya Umno akan bergabung dengan PAS, seperti yang dilontarkan ideanya oleh sesetengah pihak.

Dua parti itu boleh menjalin kerjasama tetapi penggabungan politik akan melahirkan pembangkang yang totok berhaluan kanan. Dalam Malaysia yang berbilang kaum, parti haluan kanan seperti PAS tidak boleh bertahan sendirian.

"Ketegasan PAS akan jenama politik Islamnya akan menolak gabungan itu jauh ke kanan," tambahnya.

Menurut Awang Azman, walaupun ada pemimpin Umno dan PAS yang bertemu baru-baru ini, beliau tidak fikir pertemuan itu membincangkan soal penggabungan.

"Bukan senang sebabnya kebanyakan akar umbi Umno dan PAS tidak setuju dengan idea itu. Sebarang penggabungan akan memecahkan kedua-dua parti dan semakin melemahkan kedudukan mereka.

Tunku Mohar dan Awang Azman juga tidak percaya Umno perlu membuka pintunya kepada kaum lain kerana jadi sebuah parti tunggal kaum bukan masalah utamanya – masalah utamanya rasuah.
"Mereka hilang kepercayaan ahli-ahlinya sendiri atas isu integriti, rasuah dan kepimpinan terkait skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan)," kata Awang Azman.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan