Khidmat Rakyat Di Terengganu


Oleh Rafizi Ramli

Demam PRU14 mungkin semakin surut dan masing-masing kena kembali memberi tumpuan memikul amanah. Yang menang dan jadi kerajaan, rakyat akan menghakimi prestasi. Yang kalah dan jadi pembangkang, rakyat juga akan menghakimi prestasi (sebagai pembangkang).

Pakatan Harapan kalah teruk di Terengganu dalam PRU14 lalu. Hampir 90% dari calon-calon PH hilang deposit. Di Kemaman, saya dimaklumkan hanya calon-calon PKR saja yang tidak hilang deposit (parti-parti PH yang lain hilang deposit di Kemaman).

Sebab itu saya kembali ke Kemaman (dan Terengganu) lebih kerap sejak sebulan lepas, untuk menyusun barisan PKR di Kemaman menjadi lebih mantap agar boleh menjadi pembangkang yang berkesan di Terengganu.

Ada petanda yang baik: dalam tempoh sebulan ada kemasukan anggota baru PKR di Kemaman sekitar 1,000 orang, sebahagian besarnya anak muda.

Saya telah maklumkan kepada AJK PKR Kemaman sedia ada bahawa saya ingin memberi ruang seluas-luasnya agar pengurusan PKR di Kemaman dikendalikan dan dipimpin oleh anak-anak muda.

In Sha Allah, dalam tempoh beberapa bulan ini, saya dan sahabat dari PKR Kemaman akan turun ke seberapa banyak kampung untuk menubuhkan ranting-ranting PKR. Dengan kehadiran ranting-ranting di setiap daerah mengundi, itu memberi ruang PKR berkhidmat di akar umbi sebagai penyambung kepada khidmat agensi kerajaan (di negeri yang dikuasai parti lain).

Bagi saya, begitulah peranan PKR (dan PH) sebagai pembangkang di Terengganu. Bukan untuk berebutkan jawatan, bukan untuk mengharapkan habuan dari Putrajaya.

Tanggungjawab PKR dan PH di Terengganu ialah membantu rakyat di akar umbi sebagai pembangkang. Dan ada banyak cara untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun sebagai pembangkang.

Saya menasihati anak muda dan orang ramai yang mahu membantu orang susah di Kemaman, di Terengganu atau di mana-mana untuk turut sama menyertai saya dalam PKR.

Anda boleh menjadi ahli dengan serta-merta dan mudah, dengan mendaftar di laman keanggotaan PKR:
keanggotaan.keadilanrakyat.org
Nasihat saya kepada sahabat-sahabat pembangkang (dari Umno dan PAS) di negeri-negeri dan peringkat persekutuan yang ditadbir PH: kurangkan polemik, buat kerja!

Paling penting, kurangkan bergantung kepada cyber trooper yang menggunakan nama samaran di Facebook untuk menyerang tanpa menggunakan akal, kerana itu akan memualkan lagi rakyat.

Marilah kita bersaing dan berlumba-lumba membela rakyat dengan memainkan peranan yang memenangkan rakyat.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan