KJ: PM 93 tahun, umur bukan isu tanding presiden

KUALA LUMPUR,  ― Khairy Jamaluddin berkata pemimpin dan akar umbi Umno berpeluang berkongsi kuasa jika beliau dilantik menjadi presiden bagi membersihkan parti itu daripada amalan korupsi dan mengembalikan kepercayaan masyarakat dalam pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Calon presiden itu berkata cadangan beliau antara lain demi melaksanakan perubahan secara total untuk kelangsungan dan kemajuan parti itu dan bukannya secara kecil-kecilan dan jangka masa pendek.

“..kerana itu manifesto saya ingin bawa perubahan drastik kepada parti, antaranya saya percaya presiden perlu berkongsi kuasa barulah kita berpijak di bumi yang nyata.
Antara bentuk kongsi kuasa adalah kita buang kekebalan presiden yang sebelum ini jawatannya tidak dipertandingkan dan kini kena ada pemilihan setiap tiga tahun. Presiden kena buat townhall meeting dengan 191 bahagian selain pemilihan calon dibuat di peringkat negeri dan bahagian.

“Jadi ini nanti akan mengurangkan kuasa di tangan presiden sekali gus memecahkan budaya feudal dalam Umno yang selama ini semuanya di bawah presiden,” katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual hari ini, Anggota Parlimen Rembau itu berkata jika parti melindungi atau memisahkan presiden daripada akar umbi, badai penolakan daripada rakyat akan berlaku seperti ketika ini hingga hilang kepercayaan dan sokongan yang telah terbentuk sekian lama.

Khairy atau lebih popular sebagai KJ itu berkata Umno yang kini dalam keadaan kritikal, perlu berubah memandangkan ada anggota mahu pun pemimpin sendiri keluar parti, menjadi bebas atau menyertai kem parti lain ekoran masalah kepimpinan dan pentadbiran,
Jelasnya, oleh yang sedemikian, adalah penting untuk bakal presiden yang dilantik kelak supaya menunjukkan kepimpinan yang jelas dan mampu mengembalikan kepercayaan dan keyakinan anggota parti dan orang luar.

“Bila kepimpinan lemah, kita tidak dapat kawal anak buah, jadi presiden kena jelaskan apa hala tuju kepada anak buah.

“Jika tidak dapat jadi kerajaan yang kuat pun tidak mengapa, asalkan kita boleh jadi pembangkang yang kuat dan berwibawa untuk menang dalam PRU akan datang,” katanya.
Khairy menarik perhatian, rakyat akan kembali kepada Umno jika mampu menjadi pembangkang yang kuat dan pengawas tegar kepada kerajaan sedia ada khasnya berkaitan janji 100 hari kerajaan baharu.

Mengulas mengenai kempen pemilihan yang berbaki 48 jam ketika berita ini ditulis, Khairy
menzahirkan penghargaan kerana diberi peluang menemui mana-mana perwakilan tanpa sekatan.

“Alhamdulillah. Kempen kali ini terbuka. Tiada sekatan untuk saya jumpa perwakilan dan mana-mana pihak untuk tutup ruang kempen. Ini perkembangan positif dalam Umno kerana jawatan presiden jarang dipertandingkan. Saya melihat ia suatu perkembangan yang positif, tunjuk kematangan dalam Umno

“Saya sebagai calon presiden muda pun diberi peluang. Namun ada sedikit cabaran kerana ada pihak meragui kemampuan saya kerana umur yang muda berbanding calon lain.

“Jadi saya bagi tahu mereka ada Perdana Menteri berumur 93 tahun, 53 tahun, di tempat-tempat lain, menteri besar 38 tahun. Maka tiada isu umur,” katanya.

Justeru, Khairy ingin meyakinkan perwakilan mengenai kemampuan beliau menggalas tanggungjawab yang diberi berdasarkan pengalaman, kematangan dan kebolehan yang ada selain sokongan yang diterima daripada generasi muda sebagai sandaran dan sumber kekuatannya untuk terus berjaya.

Perwakilan daripada 191 Bahagian Umno, masing-masing akan menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih kepimpinan tertinggi parti merangkumi presiden, timbalan presiden, naib presiden dan majlis tertinggi bermula pagi Sabtu ini. ― Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan