Relevankah BN pasca PRU14?

Oleh

RAMAI bertanya mengenai masa depan politik Malaysia khususnya BN. Adakah BN masih relevan pada PRU15?. Jika dilihat pembangkang amat penting untuk kelangsungan pendemokrasian di negara ini. Tanpa ada pembangkang yang kuat, parti pemerintah mudah tersasar daripada matlamat asal perjuangan dalam penubuhan kerajaan baharu ini.

Maka, Umno perlu mempunyai barisan kepimpinan pelapis yang mampu berhujah dan menarik sokongan Melayu bandar dan bukan Melayu. Umno hari ini perlu menyediakan platform untuk membenarkan mana-mana pemimpin pelapis yang berkebolehan dan berintegriti ditonjolkan dalam arena politik Melayu Malaysia.

Sifat cantas mencantas dan berjuak-juak perlu dihapuskan dalam membina semangat Umno baharu. Mana-mana kepimpinan di cawangan atau bahagian yang kurang mampu menarik sokongan pengundi pada PRU14 perlu undur diri.

Semangat Umno perlu mendengar dan belajar ilmu politik khususnya politik Melayu Neo-Feudalisme dalam menghadapi PRU15 akan datang. Kepimpinan muda yang berwatakkan agama dan integriti perlu diasah bakatnya.

BN perlu memikirkan apakah bentuk strategi yang sesuai dengan Pas. Buat masa ini, cadangan terbaik adalah menggabungkan Umno dan Pas dalam satu perikatan yang longgar supaya kepentingan umat Islam khususnya Melayu dapat dijaga.

Perikatan yang longgar demi kemaslahatan Islam amat penting dalam menangani permasalahan liberalisasi Islam dan permasalahan sosioekonomi Bumiputera.

Mungkin buat masa ini agak janggal bila dicadangkan satu perikatan yang longgar antara Umno dan Pas. Tetapi untuk masa akan datang terutama jika berlaku pilihan raya kecil atau PRU15, perikatan ini mampu beri manfaat kepada kedua-dua parti. Umno perlu guna pendekatan usrah dalam menarik sokongan bukan Islam jika pendekatan MCA, Gerakan dan MIC masih gagal menarik sokongan bukan Islam.
Bagi MCA, MIC dan Gerakan, mereka perlu kembali kepada asas utama perjuangan semasa menuntut kemerdekaan. Kepelbagaian dalam etnik Cina dan India tidak dapat dinafikan kerana berlakunya asimilasi antara etnik selepas 60 tahun kemerdekaan negara ini.

Ketiga-tiga parti ini perlu menggerakkan cara kerja “Gerakan Saya Bangsa Malaysia” dalam menghadapi “Gerakan Malaysian Malaysia” yang diterajui oleh DAP.

Gerakan Saya Bangsa Malaysia perlu berteraskan kepada ciri-ciri teras keMalaysiaan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun memperjuangkan hak sama rata tetapi perlu mengiktiraf Perkara 152 dan Perkara153. Banyakkan mesej propaganda dan provokasi dalam Gerakan Saya Bangsa Malaysia. Gerakan Saya Bangsa Malaysia perlu utamakan perpaduan dan kesejahteraan ekonomi antara kaum supaya jurang pemilikan aset ekonomi dapat diminimumkan bagi setiap kaum di Malaysia.

MCA dan Gerakan perlu kembali meyakinkan Persatuan Huay Kuan dalam mengembalikan sokongan komuniti Cina. Perjelaskan bahawa Gerakan Saya Bangsa Malaysia mampu beri banyak kelebihan berbanding Gerakan Malaysian Malaysia dalam kalangan komuniti Cina. Perjelaskan falsafah politik Cina Malaysia diasaskan melalui pengalaman sejarah; penghijrahan, kebersamaan dan kesepaduan sosial yang erat dan tidak dipisahkan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Di sini MCA dan Gerakan perlu beri komitmen bahawa mereka mampu beri ruang dan peluang dalam politik ‘matang’ demi kepentingan pendidikan, ekonomi, budaya dan peruntukan undang-undang bagi komuniti Cina di Malaysia.

Kepimpinan MCA dan Gerakan perlu memastikan kewujudan mereka sentiasa relevan walaupun terpaksa mengorbankan prinsip dan ideologi lama mereka supaya dapat bersaing dengan Pakatan Harapan. MCA dan Gerakan perlu sedar bahawa politik pluralisme Cina biasanya digerakkan dua golongan iaitu wanita dan kelas pertengahan. Kebersamaan dan kekitaan amat kukuh, cuma tidak ditonjolkan. Maka, perhebatkan integriti dan barisan kepimpinan pelapis dan wanita dalam politik MCA dan Gerakan.

Peranan wanita amat penting dalam kelangsungan politik komuniti Cina. MCA dan Gerakan perlu menolak pendekatan emosi yang tidak berteraskan ilmu. MCA dan Gerakan perlu memahami bahawa komuniti Cina jarang guna kaedah demonstrasi dan tunjuk perasaan, namun lebih suka menterjemahkannya di atas kertas undi.

Hentikan mempolitikkan setiap isu terutamanya berkaitan agama dan budaya masyarakat setempat yang boleh menyebabkan pengundi kurang suka dan menjejaskan Gerakan Saya Bangsa Malaysia.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan