Semak juga projek mega Pulau Pinang

Oleh SM Mohamed Idris

Kerajaan persekutuan mengumumkan akan menyemak semula projek yang mahal selaras dengan beban hutang yang tinggi dan keperluan untuk memperbaiki situasi kewangan.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan tahniah kepada kerajaan terhadap langkah ini.

Setakat ini Projek Keretapi Laju Singapura-Kuala Lumpur dan Projek MRT3 Lembah Klang telah dibatalkan, manakala Projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek lain sedang dikaji semula.
CAP sekali lagi mengucapkan tahniah kepada kerajaan persekutuan terhadap langkah tegas dan cepat untuk menyelamatkan dana yang amat diperlukan dan untuk memperbaiki kedudukan kewangan negara.


Kajian semula ke atas projek mega tidak seharusnya dihadkan kepada projek persekutuan sahaja.
Kajian semula yang sama juga perlu dilakukan oleh kerajaan negeri, atas prinsip yang sama untuk mengelakkan projek mewah dan menjimatkan kos untuk melindungi kewangan negara dan negeri serta masa depan rakyat.

Kerajaan negeri Pulau Pinang juga perlu meneliti semula projek mahal yang terlibat dan menangguhkannnya sehingga kajian semula lengkap.

CAP bimbang ketua menteri baharu menjadikan keutamaan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek mahal negeri terutama sekali yang berkaitan Pelan Pengangkutan.

Malah beliau berharap menteri kewangan yang baru, yang sebelum ini adalah ketua menteri Pulau Pinang, akan mampu untuk membantu Pulau Pinang dalam memastikan pelaksanaan projek itu.
Dengan negara sedang melaksanakan langkah berjimat cermat, mestilah terdapat penelitian semula terhadap keutamaan bagaimana dana yang terhad dibelanjakan.

CAP bersetuju seharusnya terdapat peningkatan dalam peruntukan untuk kebanyakan projek asas, terutama sekali pencegahan banjir dan tebatan banjir, pemulihan bukit dan cerun bukit yang terjejas akibat tanah runtuh, meluaskan hutan dan kawasan tadahan air, dan memperbaiki persekitaran pantai.
Berbilion-bilion ringgit diperlukan untuk aktiviti ini, dan kerajaan persekutuan perlu memperuntukkan dana yang diperlukan ini kepada Pulau Pinang.

Bagaimanapun, ia kelihatan kerajaan negeri meletakkan keutamaan yang lebih tinggi terhadap kumpulan projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), yang kesemuanya dilaporkan bernilai RM46 bilion, menurut laporan akhbar pada Jun tahun lepas, yang memetik ketua menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang ketika itu ahli exco kerajaan negeri.

Projek itu termasuklah terowong bawah laut bernilai RM6.43 bilion dan tiga jalan bekembar; Projek Transit Aliran Ringan (LRT); Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) termasuk tebus guna tanah untuk mewujudkan tiga pulau buatan manusia berjumlah 1,800 hektar; lebuh raya; dan pembangunan utama di Persiaran Gurney.

Tambahan lagi, terdapat juga rancangan untuk membina kereta kabel ke Bukit Bendera dengan stesen yang bermula di Taman Botani.

Daripada apa yang kami ketahui, projek ini amat mahal. Salah satu daripada jalan yang dirancang adalah dari Teluk Bahang ke Tanjung Bungah dengan anggaran kos RM1 bilion.

Jalan itu hanya 10.5 kilometer dan dijangka menjimatkan hanya 14 minit masa perjalanan kereta. Ia merupakan satu daripada jalan paling mahal di negara ini, jika tidak di dunia.

Kerajaan negeri mendakwa projek PTMP akan dibiayai oleh sektor swasta. Tetapi kerajaan negeri memberikan tanah dan hak tanah (termasuk tebus guna tanah) kepada pemaju swasta. Tambahan pula, jika beberapa projek pengangkutan tidak mampu untuk memperolehi semula kos untuk syarikat (contohnya kerana bilangan penumpang atau harga tambang terlalu rendah), adakah kerajaan akan menyelamatkannya?

Terdapat kekurangan maklumat yang diberikan kepada orang awam berhubung semua komponen PTMP.

Kerajaan negeri mestilah menyediakan semua butiran bagi setiap projek, kos, pembiayaan, anggaran penumpang dan tambang atau tol dan bilangan dan harga unit perumahan akan dibina oleh pemaju, dan kesan sosial serta alam sekitar.

Kosnya amat tinggi. Contohnya, kos kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk sahaja dilaporkan lebih RM300 juta bagi tiga jalan berkembar.

Terdapat cara alternatif yang lebih murah untuk memperbaiki pengangkutan, terutama sekali jika fokus ke atas mengembangkan pengangkutan awam dan tidak bergantung kepada pengangkutan persendirian.

Menurut laporan dalam akhbar The Star (31 Mei), pakar pengangkutan awam berkata membatalkan Laluan MRT3 Lembah Klang akan membolehkan kerajaan untuk meneliti semula projek mahal dan melihat kepada alternatif yang lebih murah.

Pakar pengangkutan dipetik sebagai berkata terdapat alternatif yang lebih murah termasuk gabungan jalan, rel dan sistem pengangkutan awam yang boleh menggunakan bas atau tram yang boleh diguna pakai daripada kota raya terkemuka dunia.

CAP menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan kerajaan negeri supaya:
- Meneliti semula PTMP dengan usaha untuk mengurangkan kos dan mempertimbangkan alternatif lain.

- Menangguhkan semua projek berkaitan PTMP serta projek mega dan mewah lain sehingga kajian semula lengkap.

- Mempertimbangkan pelan alternatif untuk pengangkutan yang memberikan tumpuan ke atas pengangkutan awam dan yang lebih murah.

- Memberikan keutamaan kepada penggunaan dana yang terhad termasuk daripada kerajaan persekutuan untuk pencegahan dan tebatan banjir, memperbaiki dan memulihkan semula cerun bukit dan perlindungan hutan, kawasan tadahan air dan sumber perairan pantai.

- Mendedahkan kepada umum butiran semua komponen PTMP termasuk anggaran kos, pembiayaan, pinjaman dan andaian perolehan semula kos.

- Mengumumkan kepada orang ramai perjanjian yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dengan pemaju dan penyokong PTMP dan projek mahal lain di Pulau Pinang.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang, yang kini menteri kewangan, memainkan peranan penting dalam meneliti semula projek persekutuan dan mengurangkan kos.

Pulau Pinang seharusnya menjadi negeri model dalam meneliti semula projek dan mengurangkan kos dan tidak menentang arus daripada kerajaan pusat.

* SM Mohamed Idris ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan