Tommy jadi Peguam Negara tak jejas Melayu, Islam


SHAH ALAM - Pemuda Amanah menyokong cadangan melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara sekali gus menafikan pendapat bahawa kedudukan Islam dan Melayu terjejas susulan lantikan bukan kalangan Muslim.

Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, kedudukan istimewa Islam dan Melayu tidak akan terjejas kerana ia telah dijamin dipelihara oleh kerajaan Pakatan Harapan (Harapan).

"Peguam negara juga tiada kuasa mengubah keistimewaan Islam dan Melayu kerana kedua-dua keistimewaan ini adalah prerogatif Legislatif," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Tommy mempunyai kelayakan dari segi merit dan perlembagaan, selain menyorot pengalaman peguam kanan itu mengendalikan kes-kes berprofil tinggi yang rumit.

“Antara kes yang pernah dikendalikan Tommy adalah kes berkaitan isu dakwat kekal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kes saman Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berkaitan hak royalti Kelantan dan kes pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Oleh itu, katanya, Pemuda Amanah percaya pelantikan Tommy mengendalikan kes-kes berprofil tinggi

bukan atas faktor sokongan kepada pembangkang tetapi berdasarkan kelayakan beliau mengkaji isu undang-undang selain kebijaksanaan berhujah

“Kepakaran Tommy akan membantu negara dalam mengendalikan kes seperti 1MDB dan penelitian semula perjanjian-perjanjian yang dimeterai kerajaan sebelum ini yang merugikan negara,” katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan Tommy dilantik sebagai senator.

"Menurut Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, Tommy boleh dilantik sebagai ahli parlimen di Dewan Negara dan seterusnya dilantik sebagai Peguam Negara untuk memenuhi hasrat Harapan meletakkan peguam negara di bawah Parlimen," katanya.

Terdahulu, surat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menulis kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memohon perkenan agar Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipecat dan digantikan dengan peguam kanan yang juga pakar perlembagaan, Tommy Thomas masih belum mendapat maklum balas dari pihak istana.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan