Imej Tun Dr Mahathir 2.0 Menjadi Perhatian


Oleh HAYAR HASSAN

Tanggal 10 Julai 2018, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke 7 menyambut hari ulang tahun hari kelahiran beliau yang ke 93. Dalam Islam, setengah ulamak berpendapat mengucapkan “Selamat Hari Jadi” kepada seseorang adalah harus. Ucapan tersebut adalah seperti lain-lain amalan budaya harian kita apabila menyambut hari-hari utama dalam kehidupan seperti Hari Guru, Hari Belia,Hari Pekerja dan lain-lain lagi yang sememangnya banyak dalam kehidupan seharian kita.

Rupanya Astro Awani( saluran TV Astro 501) juga mengadakan klip vedio pendek khusus untuk menyambut ulang tahun kelahiran beliau. Sehingga ke hari ini tidak putus-putus YAB Tun Dr Mahathir Mohamad menerima ucapan “Selamat Hari Jadi” dari pelbagai lapisan masyarakat, khususnya daripada rakyat Malaysia. Yang menarik juga, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Ali juga menyambut ulang tahun hari kelahiran pada hari ini, tanggal 12 Julai 2018. Semoga pasangan ideal ini terus sihat dan sentiasa diberkahi Allah SWT, Aamiin.

Saya dapat merasakan bahawa YAB Tun Dr Mahathir pada kali ini ,amat bertuah dan merasa terlalu gembira menerima semua ucapan tersebut, walau pun saban tahun sebelum ini ramai orang telah memberikan ucapan yang serupa. Untuk seorang yang telah berusia 93 tahun dan  menjadi Perdana Menteri untuk kali yang kedua, ianya adalah sesuatu pengalaman yang cukup bermakna bagi beliau. Pada peringkat umur sebegini, yang amat diingini oleh sesaorang adalah rasa hormat dan penghargaan dari masyarakat sekeliling khususnya daripada majoriti rakyat Malaysia, bukannya cemuhan dan kata nista.

Seperti yang kita maklumi, tempoh masa  kali pertama YAB Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia adalah daripada 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003, hampir 23 tahun. Saya masih ingat lagi satu-satunya perkara terbaik yang boleh saya hargai ketika itu yang telah dibuat oleh YAB Tun Dr Mahathir adalah menyeragamkan waktu untuk Semenanjung Malaysia Barat dengan Sabah dan Sarawak. Keputusan beliau ini cukup dihargai oleh semua pihak hatta pihak pembangkang sekali pun. Sepatutnya ianya telah lama dilaksanakan kerana ianya memberikan banyak kebaikan dalam urusan pentadbiran sektor awam dan swasta Negara.

Seterusnya beliau telah melaksanakan banyak perkara-perkara positif dan memberikan sumbangan yang amat besar dalam kemajuan Malaysia. Beliau turut mensasarkan untuk menjadikan Malaysia Negara Maju menjelang 2020. Pada waktu itu pihak pembangkang tidak punya banyak isu untuk dimainkan dalam sistem demokrasi Negara.

Namun demikian, pada tahun 1998, beliau telah membuat suatu keputusan yang cukup fatal kepada karier politiknya apabila beliau memecat Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) dan membuat beberapa pertuduhan jenayah kepada DSAI ke mahkamah. Mulai saat itulah imej beliau mula tercalar. Pembangkang dalam negeri dan juga masyarakat antarabangsa telah mengecam beliau dengan berbagai gelaran. Pihak pembangkang dalam negeri sampai melabelkan beliau sebagai Diktator Mahafiraun. Bermula lah era reformasi yang dipelopori oleh DSAI. Pengaruh pembangkang semakin hari semakin kuat dan menjadi saingan kepada UMNO/BN.

Akhirnya beliau akur juga dengan kehendak ahli-ahli UMNO yang mahu beliau melepaskan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia ke 4. Boleh lah dikatakan bahawa beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri(PM) Malaysia ketika itu dalam keadaan terpaksa. Pelepasan jawatan PM oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu tidak ditangisi oleh rakyat, malahan banyak orang khususnya pihak pembangkang merayakannya dengan  membuat khenduri kesyukuran ! Hanya segelintir sahaja rakyat Malaysia yang masih menghargai beliau. Saya tidak pasti apakah reaksi beliau ketika melepaskan jawatan PM ketika itu. Apakah beliau gembira atau sedih? Yang kita dengar, cuma ahli-ahli keluarga terdekat beliau yang gembira apabila beliau melepaskan jawatan PM itu. Itu adalah cerita 15 tahun lalu.

Namun demikian, siapa yang dapat mengjangkakan bahawa pada tanggal 10 Mei 2018 lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menempah suatu sejarah dunia apabila beliau kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 7 pada umur 92 tahun. Beliau telah menempah rekod dunia sebagai Perdana Menteri yang tertua sekali. Tidak ada pemimpin  dalam dunia demokrasi sekarang ini yang mampu memikul tanggongjawab berat menerajui pemerintahan sebuah Negara demokrasi setelah memenangi pilihanraya umum walau pun sebelum itu beliau berada di posisi sebagai pembangkang. Yang indah dan menariknya proses pertukaran tampok pemerintahan Malaysia berjalan dengan aman, tanpa menitiskan darah dan berlaku tanpa sebarang rusuhan seperti di sesetengah Negara lain. Ini adalah suatu kebanggaan kepada kita semua ! Apa yang berlaku di Malaysia ini wajar menjadi contoh kepada lain-lain Negara membangun !

Apa yang paling istimewa untuk rakyat Malaysia semua adalah kemampuan YAB Tun Dr Mahathir bekerja dalam satu pasokan dengan tokoh-tokoh parti yang sebegitu lama memusuhi beliau sebelum PRU 14. Beliau boleh duduk semeja bemesyuarat dan berunding dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI),YB Lim Guan Eng dan YB Haji Muhamad Sabu yang pernah dipenjarakan semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Kalau di amati, dalam kabinet beliau pada waktu ini terdapat orang menteri atau timbalan menteri yang pernah ditahan dibawah ISA(Internal Security Acts) . Mereka adalah YB Tuan Haji Mohamad Sabu, YB Lim Guan Eng, YB Khalid Samad dan YB Dato’ Mahfuz Omar.

Yang lebih menarik lagi adalah DSAI serta keluarganya sudah mahu melupakan dan memaafkan tindakan beliau terhadap DSAI sekeluarga 20 tahun lalu. Isteri DSAI pula , Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail(DSWAWI) sedang memikul tanggongjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, kali pertama seorang wanita diberikan kepercayaan untuk menjadi orang nombor 2 negara!

Demi meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan(PH), YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan(Council Of Eminent Persons)(CEP) seusai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ketujuh. Langkah strategik beliau ini adalah suatu yang tepat dan bijaksana. Beliau dilihat sebagai Perdana Menteri yang bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak yang boleh memberikan buah fikiran dan cadangan untuk memulihkan ekonomi dan kewangan Negara yang telah dirosakkan oleh Kerajaan yang lalu.

Seperkara lagi, beliau seolah-olah amat maklum akan kekurangan yang ada dalam barisan kabinet barunya. Hanya beliau dan Tan Sri Mahyuddin Yassin sahaja yang mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang baik kerana telah pernah berada dalam kabinet Jemaah Menteri Malaysia sebelum ini. Lain-lain menteri atau pun timbalan menteri adalah orang baru.

Tempoh masa yang agak panjang, sekitar dua bulan untuk melengkapkan kabinet Kerajaan Pakatan Harapan adalah suatu petunjuk bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad amat serious untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan mandat kepada PH. Marilah kita memberikan peluang kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membaiki ekonomi, kewangan dan pengurusan Negara yang telah rosak sebelum ini. Kita amat yakin bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sosok yang punya wibawa dan intergriti untuk membawa suatu Malaysia Baru.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan