Jumlah barangan kena cukai bawah SST 2.0 lebih kecil berbanding GST, SST 1.0

KELANA JAYA: Skop barangan dan perkhidmatan yang akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih kecil berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mahupun SST yang dilaksanakan sebelum ini (SST1.0).

Menurut Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Subromaniam Tholasy, bagi cukai jualan, majoriti barang-barang akan dikenakan sifar cukai di bawah sistem SST 2.0 yang akan diperkenalkan kerajaan mulai 1 September ini.

“Kemudian, ada barang yang tertakluk kepada (cukai) 5 peratus, ada yang tertakluk kepada 10 peratus.

“Untuk cukai perkhidmatan, kadarnya 6 peratus,” kata Subromaniam sambil menambah, dakwaan mengatakan cukai gabungan 16 peratus akan dikenakan adalah salah.

Bercakap pada satu sidang media di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, beliau berkata, senarai barang yang dikenakan cukai dan yang dikadar sifar akan dimuat naik dalam portal Jabatan Kastam Diraja Malaysia secara berperingkat mulai hari ini.

“Jika dibanding dengan GST, (skop barang) yang dicukai jauh lebih kecil. Jadi ia dijangka tidak mempunyai impak kewangan sebesar GST,” katanya.
Subromaniam bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat lanjut memandangkan Rang Undang-Undang SST masih belum dibentang di Parlimen.

“Kalau kita bandingkan (skop barang kena cukai) berbanding SST dahulu, ada sedikit perluasan, tapi tidak banyak.

“Ini kerana kita juga ada kebimbangan dari segi pendapatan cukai, Jadi, kita perlu cari keseimbangan. Apa pun, kami mengambil kira keperluan golongan B40,” katanya.

Subromaniam menambah, pelaksanaan SST juga akan lebih mudah kepada perniagaan kerana ia jauh lebih mudah.

“Kalau pemfailan (sewaktu SST) dulu manual, sekarang semua elektronik. Ini mengurangkan kos dan karenah birokrasi."

Katanya, di bawah sistem SST yang lama, perniagaan yang mahu memohon pengecualian juga perlu mengemukakan banyak dokumen, sekali gus melibatkan kos tambahan.

Sistem baru ini, katanya, hanya memerlukan perniagaan memohon menerusi sistem atas talian

“Sistem ini amat mudah, tiada kos tambahan dan ia terbuka,” katanya.

Tambahnya, perniagaan yang perlu mendaftar juga jauh lebih rendah berbanding sistem GST.

“Di bawah sistem GST, keseluruhan spektrum ekonomi diliputi, dari pengimport, kepada pengilang dan pemborong.

“Di bawah sistem SST, hanya pengilang saja untuk barangan, manakala bagi perkhidmatan, hanya pembekal perkhidmatan. Itu pun bukan semua. Di bawah GST, hampir semua pembekal perkhidmatan (perlu berdaftar),” katanya.

Beliau turut yakin dengan kebolehan pihak kastam memastikan pelaksanaan SST berjalan lancar bermula 1 September ini.

“Kalau kastam boleh laksana GST yang lebih rumit dulu dengan jayanya, saya tidak lihat mengapa kita tak boleh laksanakan SST yang liputannya tidak selebar dan serumit GST,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan