Parti 'nyamuk' kini helang merempuh badai



Oleh ARIF ATAN

Mereka puluhan tahun bernafas dalam 'parti suci' akhirnya difitnah bahkan banyak kali didoakan laknat oleh anggota parti sendiri yang menganggap diri lebih Islamik seumpama pemegang tiket syurga.

Mereka alah bisa tegal biasa dihambat FRU, gas pemedih mata semasa aksi massa. Mereka kerap bertamu di Bukit Aman, disumbat di penjara akhirnya dinista dihalau dari 'parti suci' guna senarai cai selepas badai fitnah serba terancamnya Islam dengan label syiah, Anwarinas, khadam DAP, pengkhianat, munafik haraki, jebon, sekular, liberal, pluralis dan banyak lagi yang diasak racunkan kepada akal budi ahli parti suci.

Saya sendiri ketika bertugas di akhbar Harakah (lidah rasmi parti suci) sewaktu muktamar 2015 di Kuala Selangor melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana majoriti perwakilan disihir dengan api kebencian bertopengkan agama.
Apabila Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan, apa saja kata-kata yang tidak dilempar.

Daripada panggilan PAN yang sengaja mahu memperlekeh, istiqamah pula 'doa' kononnya AMANAH parti yang hayatnya singkat juga yakinnya Tuan Presiden, Abdul Hadi Awang bahawa AMANAH akan melutut pada parti sucinya.

Bahkan, tahun lepas pula dalam Muktamar Dewan Ulama parti suci; bukannya perhimpunan budak di CC (kafe siber) di Alor Setar, Kedah tahun lepas, Ketua Dewan Ulama negeri, Mohd Rejab Md Akhir melaungkan 'Jahanam PAN'! Bergemalah dewan. Bertambah suburlah pohon permusuhan.
Bencinya parti suci terutama dari puak mendakwa dirinya 'ulama' (politik) begitu membuak-buak.

Amarahnya pada AMANAH meluap ibarat lahar gunung berapi menderas sehingga melabel tunggangan DAP. Menyampahnya pada AMANAH tidaklah seperti tahap menyampah kepada wanita kulit putih yang direstui pula Exco berbikini di pantai di sebuah negeri yang hampir 100% Melayu Islam.
Tidak hairanlah majlis mengangkat sumpah jawatan anggota Kabinet semalam mengundang rasa terharu kepada Pakatan Harapan apalagi AMANAH khususnya kepada mereka yang puluhan tahun sejak zaman remaja lagi bersama PAS.

Iltizam mereka yang sabar disokong ahli yang tabah mempertahankan gabungan kerjasama dengan PKR dan DAP tiga tahun lalu sehingga terperosok terjelepok dipijak pimpinan tinggi partinya sendiri, kini membuahkan hasil berbaloi untuk dituai.

Parti 'nyamuk' kini helang merempuh badai. Mohon kita tidak mendabik dada membanggakan diri melainkan sebagai iktibar buat kita semua adanya. Tuhan itu Maha Adil. Bahkan, AMANAH menginsafi perjuangan rakyat sebenar kini baru bermula.

Tahniah buat semua barisan YB (Yang Berkhidmat) AMANAH. Tahniah juga pastinya buat semua ahli juga penyokong AMANAH yang budiman lagi berakal budi dan selama ini sabar menerima pelbagai ujian. Tanpa ahli yang setia siapalah pemimpin. Tanpa pemimpin yang berhikmah siapalah ahli.

Selamat berkhidmat YB. Kalian memimpin kami makna bangkit dari kegagalan, usah pernah kenal berputus asa dan untuk menikmati buah nan ranum memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.
YB semua HARAPAN rakyat pelbagai kaum dan agama yang sekian lama mendambakan perubahan nan lebih mensejahterakan jiwa. Selamat menangani cabaran dan dugaan yang silih berganti kemudian hari.

Meminjam kata ulama tersohor Hamka dalam bukunya, "Revolusi Agama" lebih 60 tahun lalu:
"Sekali lagi kita katakan, janganlah kita lupa bahawa ini barulah permulaan sedar dan bangun dan mulai akan tegak, belum lagi kuat, berjalan dan berlari. Banyak lagi yang akan dilalui."

Moga terus dianugerahi kesihatan juga keberkatan di sebalik setiap perbuatan baik dilakukan. Dulu terbuang, kini terbilang. Dulu ditendang, kini dijulang.

Kita sebagai rakyat pula bersama sebarkan nilai kasih sayang dan saling menghormati perbezaan. Jauhi sifat melampaui batas dan apa jua ketaksuban hingga membutakan keadilan dan kemanusiaan. Luaskan politik damai lagi sejahtera, sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik, terus bekerja kuat dan melangkah maju.

Moga khidmat membawa berkat. Moga usaha membawa sejahtera. Moga terus membela rakyat kerana perjuangan sebenar mengisi kemenangan baru bermula.

*Sejuk mata melihat YB-YB AMANAH bersama isteri masing-masing yang berpenampilan sederhana. Lantas, teringat 'MO1' dengan pasangannya serta majlis kahwin anak mereka pada 2015 dengan belanja bunga segar saja cecah RM3 juta. Terbaru, jumlah rampasan ratusan beg tangan mewah, barang kemas, kacamata, wang tunai sehingga RM1.1 bilion.

Moga tuan-tuan YB AMANAH dan pasangan masing-masing sentiasa dijauhkan dari gaya hidup melampau maha mewah seperti itu.
Aamiin Ya Rabbal Alamiin.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan