Sidang Parlimen pasca PRU-14 dijangka hangat

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

SIDANG Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 bermula Isnin ini dan tentunya satu lagi detik bersejarah tercatat apabila persidangan berkenaan yang pertama bagi kerajaan baharu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Persidangan ini juga menyaksikan buat kali pertama Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang selepas memerintah negara selama 60 tahun dan yang pasti, mereka memegang jawatan Ketua Pembangkang serta perlu menerima hakikat jawatan Perdana Menteri kini hak mutlak PH selepas 'kuasa rakyat' menumbangkan parti komponen diketuai UMNO itu.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disebut-sebut akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri.

Sidang berlangsung selama 20 hari itu akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, pada hari kedua persidangan. Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan titah perasmian pada hari sama.

Pada hari pertama persidangan, kerajaan akan melantik Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selain majlis angkat sumpah Ahli Parlimen yang menang dalam PRU-14 lalu.

Antara nama disebut-sebut dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker ialah ahli politik veteran yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pucuk kepemimpinan tertinggi PH mengadakan mesyuarat untuk memutuskan calon akhir Speaker Dewan Rakyat sebelum dicadangkan kepada Parlimen, iaitu seminggu sebelum pembukaan rasmi persidangan Parlimen.

Difahamkan, PKR sudah menyerahkan calon kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan.

Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat yang dipetik menerusi portal rasmi Parlimen, www.parlimen.gov.my melaporkan pertanyaan bahawa jawapan lisan dan bertulis mengikut Peraturan Mesyuarat 22(2) menetapkan tiap-tiap pertanyaan sepanjang persidangan itu perlu diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat selewat-lewatnya 29 Jun lalu.

Waktu Persidangan dari 10 pagi hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang pada Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis, namun boleh berlanjutan hingga lewat malam dan awal pagi mengikut keputusan kerajaan dan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Mansuh akta
Difahamkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun yang diwartakan April lalu akan dibentangkan pada sidang kali ini untuk dimansuhkan. Ini turut diakui Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2018 yang diluluskan pada April 2014 juga dijangka dibentangkan untuk dimansuhkan sejajar Manifesto Pakatan Harapan (PH) Janji 100 Hari.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan GST berkadar sifar peratus dilaksanakan mulai 1 Jun lalu, sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September ini.

Sementara itu, bekas Yang di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia turut berkongsi pengalaman 10 tahun memegang jawatan berkenaan.

Dipetik dalam laman Facebooknya, beliau berkata: "Mengimbau kembali pengalaman saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat selama sepuluh tahun dan mengambil kira keadaan politik sekarang di mana kerajaan baharu - Pakatan Harapan - mempunyai majoriti yang kecil, saya mendoakan agar pengganti saya dapat mengemudikan persidangan Dewan Rakyat dengan baik dan 'adil'.

"Sebenarnya saya tertunggu-tunggu untuk menyaksikan bagaimana cara Yang Dipertua Dewan Rakyat dari Kerajaan Pakatan Harapan mengendalikan persidangan dan mengatasi kerenah Ahli Parlimen, khususnya dari pembangkang - BN,".

Seperti Pandikar Amin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, rakyat berbilang kaum dan berbeza fahaman politik juga ternanti-nanti persidangan berkenaan.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyatakan harapannya agar Ahli Parlimen khususnya muka baharu supaya mematuhi peraturan mesyuarat bagi mengelak sidang Dewan Rakyat menjadi pusat perbualan seperti sebuah 'pasar'.

Katanya, paling penting mereka memahami setiap peraturan mesyuarat dan belajar daripada kesilapan Ahli Parlimen sebelum ini yang suka mencelah tetapi melanggar peraturan.

Patuh peraturan Mesyuarat

"Ada antara mereka diarahkan keluar dan digantung daripada dewan. Saya percaya siapapun yang dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat mereka memiliki kekuatan dan kelebihan untuk mengawal persidangan.

"Saya faham ada antara Ahli Parlimen muda yang ghairah berhujah, itu tidak salah, namun pastikan tidak melanggar peraturan mesyuarat," katanya yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Pengalaman penulis membuat liputan Sidang Dewan Rakyat, ada Ahli Parlimen diarah keluar dewan kerana melanggar peraturan dewan termasuk Peraturan Mesyuarat 44 (3) yang membolehkan mereka digantung.

Ini pernah berlaku kepada Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang digantung daripada Parlimen selama enam bulan kerana mengingkari arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya berhenti mengganggu perjalanan persidangan.

Peraturan berbahas mencakupi isu ucapan, had perbahasan, tidak mengganggu perbahasan dan diam ketika Yang Dipertua Dewan Rakyat atau timbalannya bercakap perlu dipatuhi.

Setiap Ahli Parlimen juga perlu memiliki ketahanan mental, kerana selain bertikam lidah di antara penyokong kerajaan dan pembangkang, mereka juga perlu berhujah dengan fakta dan mengelak mengeluarkan perkataan kesat dan berbohong bagi mengelak diarahkan keluar.

Kerap kali persidangan berlanjutan sehingga jam 2 pagi, malah pernah sehingga 4 pagi terutama ketika membahas dan meluluskan sesuatu rang undang-undang dan dalam konteks ini, Ahli Parlimen perlu memiliki stamina yang tinggi.

Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Jenayah (Pindaan) (POCA) 2017 misalnya, diluluskan Dewan Rakyat pada jam 4.05 pagi selepas dibahaskan selama 12 jam pada 9 dan 10 April tahun lalu.
Justeru, Sidang Dewan Rakyat adalah sesuatu yang dinanti-nantikan apatah lagi ia sidang pertama bagi kerajaan baharu yang pastinya menguji kewibawaan Ahli Parlimen mereka, manakala bagi BN pula ini yang pertama mereka menjadi pembangkang.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan