Tian Chua: PKR teliti dulu motif adik Shahidan sebelum lulus permohonan

PETALING JAYA: PKR peringkat Pusat berkata mereka masih lagi belum menerima permohonan Adun Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim untuk menyertai parti itu.

Naib Presidennya Tian Chua berkata, perkara berkenaan belum sampai ke peringkat biro politik PKR yang akan meluluskan permohonan.

Bagaimanapun Tian Chua berkata, sebelum meluluskan permohonan, mereka akan meneliti terlebih dahulu motif Ismail yang juga adik Datuk Seri Shahidan Kassim menyertai parti berkenaan.

“Kita akan teliti apa motif dia nak sertai (PKR). Adakah perjuangan, pemahaman dan perjuangan dia sehaluan dengan kita. Yang ini kita harus teliti dahulu baru kita boleh buat keputusan,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.
Pada 7 Julai lalu, Ismail memutuskan untuk menyertai PKR, selepas hasratnya menyertai PPBM tidak kesampaian setelah meninggalkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ismail berkata, keputusan menyertai PKR itu dibuat selepas tertarik dengan cara parti berkenaan diurus tadbir.

Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, parti itu harus memastikan pemahaman mana-mana pihak yang mahu menyertai mereka adalah sama.

“Sesiapa sahaja. Kita kena pastikan mereka sehaluan dalam pemahaman perjuangan kita. Tak kisahlah (Datuk Seri) Zahid Hamidi nak sertai ke, (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor nak sertai ke.

“Itu yang saya kata, kita kena pastikan mereka betul-betul ikhlas untuk mendokong agenda perjuangan kita,” katanya.

Bekas ahli parlimen Batu itu turut mengingatkan mana-mana pihak daripada BN yang menyertai PH bahawa ia bukan jalan pintas untuk mereka mendapatkan jawatan.

“Dan kita juga tidak memberi kekebalan mana-mana pihak sekiranya proses siasatan penyelewengan dalam pentadbiran dahulu didapati mereka melakukan sesuatu.

“Mereka masih boleh didakwa dan dihadapkan dengan tindakan undang-undang walaupun menyertai PH,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan