Wanita Harapan mohon kementerian wanita kaji semula tindakan

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkenaan isu perkahwinan bawah umur yang dikeluarkan semalam, Wanita Pakatan Harapan memohon agar pihak kementerian menilai semula langkah yang diambil dalam usaha untuk membasmi perkahwinan bawah umur di Malaysia.

Dengan membiarkan perkahwinan kanak-kanak ini untuk terus terjadi, akan menyebabkan lebih banyak lagi masalah dan akan menetapkan satu jajaran yang negatif terhadap pembangunan kanak-kanak di Malaysia.

Lebih menyedihkan lagi, melalui pemerhatian NGO wanita di Malaysia, kebanyakan daripada perkahwinan kanak-kanak perempuan bawah umur tidak kekal lama.

Purata perkahwinan bawah umur hanya dapat bertahan selama lima tahun sahaja, disebabkan oleh perceraian ataupun kematian suami.

Ini mendatangkan masalah lain dalam masyarakat apabila ibu-ibu yang terlalu muda ini terpaksa dibebankan dengan tugas menjaga anak kecil, sedangkan mereka juga belum lagi matang untuk memikul tanggungjawab sebegitu besar.

Wanita Pakatan Harapan berpendirian tegas bahawa perkahwinan bawah umur harus dibanteras dan perkara ini tidak patut terjadi di Malaysia.

Di Malaysia, kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun diberi perlindungan khas dan dikawal di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang diluluskan bagi tujuan menjaga kepentingan kanak-kanak.

Pindaan pada tahun 2016 pula dibuat sebagai penambahbaikan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001. Ini demi memperkukuhkan perlindungan ke atas mereka.

Ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1989, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak di Malaysia.
Institusi perundangan seperti Mahkamah Syariah di setiap negeri turut perlu memahami aspirasi ini dan memastikan kanak-kanak terus dibela mengikut acuan kemanusiaan sejagat.

Jangan disebabkan oleh perkara seperti ini agama Islam yang syumul dilihat sebagai sesuatu yang negatif, hanya kerana Mahkamah Syariah membenarkan perkahwinan kanak-kanak untuk terus berlaku.
Kerjasama antara KPWKM, agensi-agensi lain dan institusi perundangan seperti Mahkamah Syariah negeri perlu dijalin bagi membasmi perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

ZURAIDA KAMARUDDIN ialah ketua Wanita Pakatan Harapan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan