Calon PH Seri Setia tak kompromi pihak main sentimen kaum

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) kali ini.

Katanya, masyarakat di DUN itu diseru untuk menolak sebarang cubaan individu atau kumpulan yang bertindak memainkan isu bangsa atau agama demi meraih keuntungan politik yang tidak bertanggungjawab.

“Dasar perjuangan PKR dan PH adalah untuk menjaga kebajikan semua kaum.

“DUN Seri Setia tidak boleh dibiarkan tergugat oleh sikap rasis mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media hari ke-10 kempen PRK Seri Setia, hari ini.

Sambil menolak andaian ia ditujukan kepada calon parti lawannya PAS, Halimey berkata parti tersebut jauh berbeza dengan PH yang memiliki kepelbagaian kaum dalam setiap peringkat pimpinannya.
“PH merupakan parti yang pelbagai kaum, agama, kepimpinan daripada peringkat atas sampai bawah.

“(Namun) kita tidaklah merujuk mana-mana pihak sebab mereka (PAS) tiada pimpinan bukan Islam.”
Halimey juga memberi jaminan akan menjaga masyarakat di DUN itu tanpa memilih warna kulit atau agama yang dianuti.

Katanya, dasar yang digunakan kerajaan PH di Selangor akan diteruskan jika beliau menang pada PRK kali ini.

“Selangor yang diterajui PH melaksanakan program seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang sehingga kini memperuntukkan lebih RM1.8 bilion untuk kebajikan rakyatnya.

“Tiada kuota melibatkan kaum dikenakan sebagai syarat untuk memohon bantuan IPR seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Mesra Emas, Skim Peduli Sihat dan lain-lain.

“Kelulusan akan diberi kepada mereka tanpa mengira kaum,” katanya.

PRK Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

Pada PRU14 lalu, Shaharuddin yang mewakili PKR, memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 29,250 undi menewaskan calon BN Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S Vignes (217).

Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, terdiri daripada 50,692 pengundi biasa, 2,770 pengundi awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan