Dewan Rakyat lulus RM6.22 bilion susun semula kementerian


KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat malam ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018.

RUU itu diluluskan setelah dibacakan kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan mendapat undian majoriti.

Rang undang-undang memperuntukkan RM6.22 bilion itu, dibentangkan berikutan berlaku beberapa penyusunan semula kementerian selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beberapa kementerian disusun serta dinamakan semula dan beberapa kementerian baharu ditubuhkan serta sebuah kementerian dibubarkan dengan fungsi-fungsinya dipindahkan kepada kementerian lain.

Ia juga bagi memperuntukkan semula suatu akta menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2018.

Terdahulu, ketika menggulung RUU bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Menterinya Gobind Singh Deo berkata beliau sedang menunggu laporan terperinci berkenaan kejadian 'serangan teknikal' terhadap telefon bimbit semasa PRU14 pada 9 Mei lalu.

Beliau berkata laporan awal menunjukkan serangan berkenaan merupakan serangan teknikal atau BOTS yang boleh mengganggu talian komunikasi.

"Saya minta laporan terperinci, dan apa yang penting bukan hanya laporan tetapi kaedah boleh diambil untuk menangani situasi ini supaya tidak berlaku sekali lagi," katanya, dan menambah pihaknya komited mewujudkan satu sistem menyekat serangan tersebut jika berlaku supaya tidak berpanjangan dan menjejaskan pengguna telefon bimbit.

Beliau berkata serangan berlaku pada 9 Mei lepas selama beberapa jam itu dilaporkan menjejaskan saluran komunikasi calon-calon bertanding pada PRU14 lalu, yang ketika itu perlu mengetahui perkembangan proses mengundi pada hari berkenaan.

Pada 9 Mei lalu, beberapa pemimpin parti politik mendakwa menerima panggilan misteri daripada nombor luar negara di telefon bimbit mereka.

Antara yang mendakwa menerima panggilan tidak berjawab daripada nombor luar negara adalah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta pemimpin Pakatan Harapan seperti Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Tian Chua.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan