Tabung bantuan pesakit kronik Kedah janji PH berjaya ditunaikan

Pelancaran Tabung Bantuan Pesakit Kronik Kedah (TPK) oleh kerajaan negeri baru-baru ini membuktikan salah satu janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) berjaya ditunaikan.

Menurut Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, tabung yang telah berjaya dilancarkan tersebut merupakan salah satu tawaran PH sebelum pilihan raya umum ke 14.

Jelasnya lagi, penubuhan tabung tersebut merupakan tawaran keempat daripada 10 janji yang telah ditawarkan sebelum ini.

“Kerajaan turut berjaya menunaikan beberapa janji lain seperti janji kesembilan iaitu untuk mewujudkan mahkamah syariah bergerak.

“Manakala sebahagian dari janji-janji yang telah dibuat lebih 50 peratus telah berjaya dilaksanakan sehingga kini.

“TPK yang diwujudkan oleh kerajaan negeri memberi tumpuan kepada golongan yang disasarkan iaitu asnaf dan bukan asnaf, ” ujarnya lagi.

Malah kata beliau lagi, untuk golongan asnaf seandainya mereka tidak mampu untuk membayar kos perubatan, maka pihak zakat negeri akan membantu dengan menyumbangkan sebahagian dari jumlah yang diminta.

“Seandainya ia masih lagi tidak mencukupi maka wang dari TPK ini akan digunakan bagi menampung kos yang diperlukan oleh pesakit tersebut.

“Untuk kategori bukan asnaf pula, mereka adalah golongan yang berkemampuan tetapi tidak mampu untuk membayarnya, maka ia akan ditampung dari tabung yang diwujudkan.

“Bantuan yang diwujudkan tersebut adalah bagi membantu meringankan beban rakyat Kedah yang memerlukan, ” tegasnya.

Disebalik itu katanya, bagi mereka yang ingin membuat permohonan maka ia akan dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Hospital terlebih dahulu bagi penilaian untuk mendapat kelulusan.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi AMANAH Negeri Kedah turut berkata, bagi peringkat awal kerajaan negeri membantu dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi tabung tersebut sehingga Disember.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan