Menanti kompang dipalu merai 'pengantin baru'

Oleh Tamrin Ghafar  |

Pada 7 Apr 1981 di Kampong Bonggol Paradong Kuala Terengganu Abdul Hadi Awang yang kini presiden PAS berhabis-habisan menyerang Umno.

Belum pernah lagi Umno - sejak tertubuhnya PAS - diserang sebegitu rupa.

Ucapan Abdul Hadi itu - yang lebih dikenali sebagai Amanat Haji Hadi - telah dijadikan pegangan perjuangan anggota PAS.

Pada 1986 Abdul Hadi sekali lagi menyerang Umno kerana berkawan dengan MCA, dengan mengumpamakan MCA sebagai seketul daging babi yang berada dalam kawah daging lembu.

Semasa zaman Semangat 46 yang diasaskan Tengku Razaleigh Hamzah, Abdul Hadi berpeluk-pelukan dengan DAP bagi menumbangkan Umno/BN.

Ucapan Abdul Hadi pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan di hadapan lautan manusia, beliau dengan lantang membela DAP.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei lalu, pendirian Abdul Hadi mula berubah.

Kempen habis-habisan

Jika dulu beliau menyerang Umno kerana bersekongkol dengan MCA kini Umno/BN seolah-olah parti yang suci dan sealiran dengan PAS.

Lupakah Abdul Hadi dan ahli-ahli PAS akan kenyataan Najib Razak selaku perdana menteri, presiden Umno dan Pengurusi BN menjelang PRU ke-13 (pada 2008) yang berkata bahawa selagi Umno/BN berkuasa selagi itu hukum hudud tidak akan dilaksanakan?

Apakah Abdul Hadi, pemimpin dan ahli PAS kini memaafkan rakan kongsi Umno - iaitu MCA , MIC dan Gerakan - yang pernah mengugut mahu keluar (berhenti) dari kabinet jika pembentangan pindaan RUU355 tajaan PAS diteruskan di parlimen?

Pada pilihan raya kecil Sungai Kandis baru-baru ini, PAS bukan saja tidak meletakkan calonnya untuk bartanding, malah Abdul Hadi mengarahkan ahli-ahli PAS bekerja kuat menyokong calon Umno/BN bagi mengalahkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Di pilihan raya kecil Seri Setia pula, giliran Umno/BN pula meletakkan calon, sebaliknya beberapa anggota Majlis Tertinggi Umno bukan sahaja berarak mengiringi calon PAS, bahkan mereka berkempen habis-habisan di sana seolah olah calon mereka yang bertanding.

Keadaan Balakong lebihi memeranjatkan apabila beberapa pemimpin tertinggi PAS bersungguh-sungguh berkempen bagi memenangkan calon MCA, sedangkan Abdul Hadi pernah menyamakan parti itu seperti seketul daging babi yang berada dalam kawah daging lembu.

Apakah Abdul Hadi telah mengeluarkan fatwa baru bahawa 'daging babi' itu sekarang ini sudah boleh dimakan oleh beliau dan ahli-ahli PAS?

Ana akan hadir

Kebelakangan ini Abdul Hadi dan pemimpin PAS yang lain menyerang HARAPAN yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad atas alasan DAP ialah parti yang memusuhi Melayu dan Islam.

Adakah mereka lupa atau buat-buat lupa tentang kenyataan Najib yang pernah menentang hudud dan ugutan MCA terhadap BN sekiranya pembentangan RUU355 diteruskan?

Segala taktik PAS dan Umno/BN di ketiga-tiga pilihan raya kecil baru-baru ini terbukti telah mengalami kegagalan.

Tidak lama lagi akan berlangsung perhimpunan agung Umno (PAU) dan muktamar tahunan PAS.
Belum pun lagi Umno menjemput PAS untuk hadir, tiba-tiba Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan PAS sedang menimbang kehadiran mereka di PAU itu.

Begitu juga Zahid Hamidi. Presiden Umno itu telah mengesahkan ana akan hadir di muktamar PAS nanti.

Itulah tanda-tanda bahawa Umno dan PAS sudah tentu akan mengadakan 'majlis pernikahan’ mereka tidak lama lagi.

Hanya tarikh ‘penikahan’ itu saja belum ditetapkan, tapi yang pasti rakan baik mereka - MCA dan MIC - pasti hadir sebagai saksi kepada ‘perkahwinan’ tersebut.

Semoga ‘pernikahan’ kali ini berkekalan sehingga ke anak cucu dan tidak seperti 'penikahan' terdahulu (pada zaman Tun Razak Hussein) dan Datuk Asri Muda yang berakhir dengan 'perceraian'.
Sebenarnya taktik berbaik-baik dengan Umno hanyalah tipu daya PAS apabila mereka berjaya mengurangkan kerusi Umno di Kelantan dan menumbangkan kerajaan BN di Terengganu.

Apa pun ingatlah pesanan bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, alam ucapan terakhirnya: “Apabila kita berjinak-jinak dengan musuh (Umno), itulah tanda bermulanya kehancuran kita (PAS).

Kata-kata Tok Guru Nik Abdu Aziz Nik Mat kepada saya pula masing diingati.

“Umno apabila lemah dia cari kita, bila kuat dia tendang kita,” katanya.
Sama-samalah kita tunggu dan lihat siapakah yang lebih bijak selepas ini.

Tulisan ini khas untuk renungan semua ahli Umno/BN dan PAS yang barangkali dalam detik penantian menunggu tarikh ‘pernikahan’ kedua-dua parti itu.

DATUK TAMRIN GHAFAR bekas pemimpin Umno dan anggota parlimen Batu Berendam. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi MARA dan menyertai PAS sebelum meninggalkan parti itu selepas dua tahun.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan