PKR ambil perhatian penurunan undi Melayu

PUTRAJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil perhatian terhadap penurunan undi Melayu kepada parti itu seperti diterjemahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata di sebalik dakwaan orang Melayu memihak kepada pembangkang, kejayaan dan keputusan politik terbesar dibuat PKR ialah mengekalkan parti itu sebagai parti pelbagai kaum.

“Saya ambil perkara itu (undi Melayu menurun) sebagai peringatan, kejayaan paling besar ialah PKR dapat kekalkan imej pelbagai kaum, bagi saya itu lebih baik.

“Pertarungan sebenar bagi saya adalah ketika Pilihan Raya Umum (PRU), (namun) PRK boleh beri isyarat.
“Hakikat sebenarnya, PH cuma kalah di (Parlimen) Semenyih, yang lain (PRK) hanya (parti lawan) mengekalkan kedudukan masing-masing,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pada Program Dialog kementeriannya bersama media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kekalahan PKR pada PRK DUN Rantau baru-baru ini yang dikaitkan dengan kemerosotan undi Melayu.

Saifuddin mengakui parti berkenaan tidak pernah mendapat sokongan dan undi daripada orang Melayu melebihi 50 peratus walaupun ketika bekerjasama dengan PAS.

Katanya, kali terakhir parti itu ‘menikmati’ undi Melayu sehingga 63 peratus ialah pada PRU 1999 dan undi Melayu dalam politik di Malaysia sentiasa dikuasai UMNO, diikuti PAS dan PKR.
“Sesuatu pakatan politik itu mesti mendapatkan sokongan orang Melayu dan PKR tidak pernah mendapat lebih daripada 50 peratus.

“Ia tidak pernah lebih daripada itu, walaupun pada ketika (PKR) berkawan dengan PAS, jumlahnya tetap sama. Berkawan dengan PAS sekalipun, ‘syafaat’ undi Melayu tetap tak dapat pada kami (PKR).

“Undi Melayu sentiasa dikuasai oleh UMNO, kami (PKR) sentiasa di kedudukan nombor tiga,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan