Sasar satu Parlimen satu Masjid Rahmah - Mujahid

TASEK GELUGOR: Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya satu Parlimen mempunyai satu program Masjid Rahmah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata mana-mana masjid sedia ada yang mengamalkan ciri-ciri RAHMAH (ramah, aman, harmoni, mesra, a’lamin dan hormat) boleh diiktiraf sebagai Masjid Rahmah.

Beliau berkata, program masjid rahmah itu adalah sebahagian daripada dasar rahmatan lil a’lamin ke arah mewujudkan sebuah negara rahmah.

“Kami sedang mengadakan jelajah di seluruh negara untuk menyampaikan dasar-dasar ini. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dan dengan harapan kita dapat membebaskan masjid daripada cengkaman kepuakan, kekelompokan dan kepartian.

“Masjid akan menjadi sebuah institusi ummah yang bebas daripada segala apa-apa kepentingan dan menjadi sebuah masjid yang hanya menyampaikan kebaikan dan berlumba-lumba atas kebajikan kepada seluruh masyarakat yang ada di sekeliling,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Masjid Rahmah di Masjid Simpang Empat, Permatang Buloh, di sini hari ini.

Mujahid berkata, setakat ini pihaknya telah mengadakan jelajah di Wilayah Persekutuan, Kedah dan Pulai Pinang.

“Saya berharap sebelum puasa kami dapat pergi dua buah negeri lagi iaitu Melaka dan Johor,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program pelancaran buku dan forum mengenai “Wanita Muslim dan Tudung” yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Mujahid berkata, buku tersebut telah disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa JAIS dan jabatan itu sedang menjalankan siasatan lanjut.

Mujahid turut menasihatkan mana-mana penganjur yang ingin mengadakan program supaya menjaga sensitiviti kaum terutamanya membabitkan agama Islam.

Carian di Twitter mendapati program itu berkisar perkongsian pengalaman wanita bertudung sebelum menemui dunia baharu tanpa tudung yang dilihat mendapat maklum balas negatif daripada netizen. – BERNAMA
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan