Tiada kuota khas haji bukti PH berkorban untuk rakyat

Tiada lagi kuota haji khas kepada Menteri dan Ahli Parlimen seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh, baru-baru ini amat dialu-alukan, kata Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang.

Beliau berkata, keputusan untuk menghentikan amalan kuota haji khas tersebut tepat pada waktunya.
“Sebelum ini pentadbiran kerajaan BN dikritik kerana menyediakan kuota haji khas kepada Menteri dan Ahli Parlimen sehinggakan rakyat bawahan tidak mendapat peluang yang sepatutnya untuk mengerjakan haji.

“Kini setelah menjadi kerajaan, maka Pakatan Harapan (PH) mesti mempamerkan bahawa apa yang pernah dikata akan dikota.

“Sekiranya pada zaman BN dahulu terlalu ramai sokongan politik yang diamalkan bagi kuota haji khas dan menyebabkan peluang untuk rakyat terhad, kini PH berani melakar sejarah dengan membuat perubahan,” tegasnya.

Namun begitu kata Azmi, kuota haji khas di bawah pemerintahan PH boleh dibuat pindaan demi perubahan yang diharapkan.

“Seandainya semasa BN dahulu kuota haji khas agak melampau jumlah yang diberi kepada Menteri dan Ahli Parlimen, maka PH boleh mengakses sistem tersebut dengan mengurangkan jumlah kuota haji yang diperuntukkan.

“Reformasi oleh PH juga mesti praktikal, adil dan telus termasuk giliran menunggu oleh Menteri dan Ahli Parlimen.

“Dengan ketelusan ini, saya optimis, PH akan mendapat dokongan yang bercambah dari rakyat, apabila Menteri dan Ahli Parlimen juga terpaksa mengikut giliran untuk menunaikan haji, ” ujarnya.

Tambahnya, kepimpinan PH perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa apa yang telah dicanangkan selama ini bukannya suatu omongan kosong, sebaliknya realiti yang mampu dipraktikkan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan