Debat: Kit Siang tarik diri elak manipulasi, konflik kaum

Penasihat DAP, Lim Kit Siang memutuskan untuk tidak meneruskan debatnya dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  mengelakkan kemungkinan  perdebatan itu akan dimanipulasi menjadi konflik perkauman.

Debat yang diberikan tajuk ‘Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti’ itu dijangka akan diadakan selepas Aidilfitri.

“Memandangkan besar kemungkinan debat  di antara Najib dan saya ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina.

“Sedangkan perang melawan rasuah, penyalah-gunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukanlah satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik, saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kit Siang berkata, beliau sedar keputusan yang dibuatnya itu bakal disambut dengan pelbagai tuduhan namun beliau sedia menerimanya.

“Kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk semua rakyat menghakimi sama ada saya seorang penakut ataupun tidak dan saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman daripada rakyat.

Tambahnya, keputusan itu juga dibuat selepas menerima nasihat serta pandangan dari pelbagai pihak emel, WhatsApp dan telefon, termasuk daripada rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, menggesanya untuk tidak berdebat dengan Najib.

Antara pandangan yang diutarakan termasuk, “Najib akan gunakan majlis debat dengan Kit Siang itu untuk membangkitkan sentimen perkauman habis-habisan” dan “Tolong jangan jalankan debat ini. Ia hanya akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.”

“Apabila Najib mencabar saya untuk berdebat dengannya pada hari Selasa yang lepas, perkara pertama yang terlintas pada fikiran saya adalah; patutkah seseorang itu berdebat dengan seorang kleptokrat yang mempunyai penyakit suka menipu ataupun memang kaki penipu,” kata Kit Siang lagi.

Najib, pada Selasa lalu menerusi wawancara oleh Free Malaysia Today, telah mencabar Kit Siang untuk berdebat secara langsung.

Dalam satu catatan di Facebook, bekas Presiden Umno itu berkata, beliau tiada masalah berdebat dengan tajuk pilihan Kit Siang – “How Malaysia became a global kleptocracy, and how we can become a leading nation of integrity”
.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pekan itu menyarankan agar topik-topik lain juga bebas dibincangkan sewaktu debat itu berlangsung.

Beliau juga mencadangkan debat tersebut diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri akan datang dan seharusnya disiarkan secara langsung supaya dapat ditonton oleh rakyat.

Ini bukan kali pertama cabaran berdebat membabitkan kedua-dua seteru politik itu kerana cabaran itu sudah bermula pada Julai tahun lalu apabila Kit Siang mencabar Najib menyertai debat umum bertajuk Islam Bukan Keptokrasi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan