Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah semalam tidak wajar.

Menurutnya, ini kerana PRU-14 baru setahun diadakan dan tempoh empat tahun lagi untuk PRU-15 diadakan.

“Saya rasa dia masih terkejut bahawa UMNO tewas pada pilihan raya lepas. Saya rasa kita perlu akur kepada pilihan rakyat dan kalau mereka masih terkejut, belajar untuk ‘move on’.
“Kalau sudah jadi pembangkang, jadilah pembangkang yang baik. Pilihan raya lepas baru sampai satu tahun dan kita ada empat tahun lagi, mereka sudah hendak fokus kepada PRU yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis doa kesyukuran dan berbuka puasa anjuran Armada Bersatu Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Semalam, Tengku Razaleigh berkata, UMNO perlu mula bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya PRU-15 secara mengejut.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, persediaan tersebut termasuklah berhubung pengagihan kerusi untuk ditandingi yang perlu dibincangkan bersama rakan parti pembangkang iaitu, Pas serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kerajaan tidak boleh hanya memfokuskan kepada PRU sebaliknya perlu mentadbir dengan cekap dan terus berkhidmat kepada rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Ketika ini adalah masa untuk ke hadapan setelah rakyat bersuara dalam PRU yang lalu,” katanya. -