Pakai sopan pun ada jadi mangsa rogol - Ketua Wanita PKR

Ketua Wanita PKR Haniza Talha menyelar kenyataan senator daripada partinya yang mencadangkan supaya digubal undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

"Rogol berlaku kepada wanita yang berpakaian sopan (juga).

"Orang yang memerlukan perlindungan adalah mangsa penderaan seksual, dan bukan pelaku (jenayah seksual) dan perogol," kata Haniza kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Mohd Imran Abd Hamid, yang juga merupakan pesara tentera laut itu berkata, gesaan itu dibuat supaya golongan lelaki “selamat” dan seteruskan “negara jadi aman”.

Katanya, perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita boleh menyebabkan kaum lelaki tergoda sehingga boleh mendorong perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya.

Haniza berkata sumbang mahram, rogol, dan menonton pornografi semuanya didorong oleh hawa nafsu.

Oleh itu, beliau mencadangkan lelaki yang tidak dapat mengawal hawa nafsunya supaya berpuasa selaras saranan ajaran Islam kerana berdasarkan hadis amalan itu menghalang diri daripada dikuasai syahwat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh sebelum ini berkata statistik dari 2013 hingga 2017 menunjukkan sebanyak 2.1 peratus lelaki menjadi mangsa gangguan seksual.

Kenyataan Imran itu turut dikritik oleh Senator Khairul Azwan Harun yang mewakili Umno.
Jelasnya, cadangan sedemikian patut ditolak sekiranya Malaysia mahu menjadi negara yang progresif.

"Pandangan beliau (Mohd Imran) itu adalah kuno, regresif dan patriaki.

"Kita mesti menolak kenyataan seperti ini, komen dan pandangan itu jika kita ingin menjadi negara yang progresif," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Azwan lagi, pandangan seperti ini walaupun dinyatakan secara bergurau boleh menggalakkan perbuatan seseorang itu.

Meskipun tidak menyebut nama, dipercayai merujuk kepada dakwaan rogol yang melibatkan exco Perak Paul Yong.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan