Kementerian pertimbang tindakan pada SK Methodist Pulau Pinang

KEMENTERIAN Pendidikan memberi peringatan tegas dan mempertimbangkan tindakan tatatertib ke atas SK Methodist Pulau Pinang atas bacaan doa agama Kristian dalam satu acara sekolah itu.
Turut diberi peringatan adalah sebuah sekolah di Perak bagi ceramah dalam bahasa Cina sepenuhnya untuk satu kursus, kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Amin Senin.

“Bagi kedua-dua kes ini, peringatan tegas telah diberikan kepada pihak pentadbir sekolah berkenaan kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pendidikan.

“KPM juga sedang mempertimbang tindakan tatatertib jika perlu,” kata Amin dalam satu kenyataan.
Katanya, kejadian melibatkan SK Methodist melanggar garis panduan berhubung pengurusan acara serta sambutan untuk bahagian atau jabatan institusi bawah kementerian.

Ia merujuk Surat Siaran KPM Bilangan 13 Tahun 2016 yang difahamkan lanjutan daripada surat pekeliling atas isu sama yang pernah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran pada 1977, berhubung bacaan doa Kristian semasa perhimpunan sekolah.

Surat pekeliling pada 1977 itu menetapkan agar sekolah mubaligh mengatur perhimpunan sekolah supaya bacaan doa Kristian dibuat dengan hanya disertai oleh pelajar dan guru beragama Kristian.

Kenyataan itu dikeluarkan hari ini susulan laporan polis oleh kumpulan NGO Pulau Pinang ke atas pentadbir sekolah terbabit atas kejadian semasa satu penyampaian anugerah pada Jumaat.

Bagi kes ceramah dalam bahasa Cina sepenuhnya, sekolah di Perak terbabit didapati melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997, kata Amin.

Akta tersebut menetapkan mata pelajaran Pendidikan Seni diajar dalam bahasa Melayu bagi mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, jelasnya.
“Peringatan yang sama juga telah diberikan kepada semua sekolah agar mematuhi semua Akta Pendidikan dan surat-surat siaran yang telah diedarkan kepada mereka.

“Ketidakakuran kepada peraturan-peraturan ini boleh membawa kepada tindakan tatatertib atau tindakan lain yang sesuai kepada pihak pentadbir sekolah yang terlibat.

“KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturanperaturan yang telah disediakan untuk rujukan semua,” tegasnya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan