Calon PH di PRK Tanjung Piai akan diumum 30 Oktober ini

Calon Pakatan Harapan (PH) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, dijangka diumum 30 Okt ini.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai Karmaine Sardini berkata majlis pengumuman calon itu dijangka diadakan di dataran terbuka berhadapan Dewan Jubli Intan, di sini, dan persiapan mengenainya sedang dilakukan.

“Setakat ini kita (Bersatu Bahagian Tanjung Piai) sudah menyerahkan tiga nama calon kepada pucuk pimpinan untuk diteliti dan diputuskan. Kesemua tiga yang dinamakan itu merupakan pemimpin Bersatu Bahagian Tanjung Piai,” katanya yang ditemui pemberita  pada Ahad.

Karmaine berkata antara kriteria calon yang ditetapkan itu adalah anak tempatan, seorang yang berpengalaman dalam politik dan mempunyai latar pendidikan yang baik.

Ditanya mengenai gerak kerja pilihan raya itu, Karmaine berkata usaha akan ditumpukan kepada 16 Pusat Daerah Mengundi yang mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov depan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.– BERNAMA
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan