Khalid: Beribu pemilik tanah Kg Baru akan jadi jutawan kerana tawaran RM1,000

MARANG: Kerajaan yakin pemilik tanah di Kampung Baru akan bersetuju dengan tawaran baru kerajaan untuk pembangunan semula kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata RM1,000 setiap kaki persegi merupakan tawaran yang cukup baik dan adil.

“Saya cukup yakin kerana ianya satu tawaran yang baik dan adil, orang Kampung Baru akan mahu duduk berbincang dan mencapai satu persetujuan. Saya yakin orang Kampung Baru boleh melakukannya.

“Tawaran ini juga akan menghasilkan beribu jutawan Melayu yang boleh membawa penambahan hak milik Melayu di Kuala Lumpur.
“Sekarang ini jumlahnya mungkin tidak ramai, tetapi apabila kita bangunkan dan semuanya untuk orang Melayu, maka lagi ramailah orang Melayu memiliki tanah di Kuala Lumpur. Ini tujuan kita,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Kampung Pak Madah di Bukit Payong hari ini.

Khamis lalu, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM1,000 setiap kaki persegi, dengan RM850 akan dibayar dalam bentuk pulangan pilihan pemilik, manakala baki RM150 dalam bentuk pegangan saham syarikat tujuan khas (SPV).

Pada 21 Sept lalu, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM850 sekaki persegi bagi pengambilan tanah tersebut, namun sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran itu tidak setimpal lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Pada majlis itu, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah dalam ucapannya meminta Pakatan Harapan (PH) di Terengganu bertindak sebagai pembangkang yang membina dan memantau bagaimana kerajaan negeri pimpinan PAS menggunakan Wang Tunai Petroleum (WTP) yang disalurkan kerajaan persekutuan.

“Kita hendak tentukan ianya digunakan dengan baik dan bukan kepentingan politik mereka,” katanya sambil menambah pembayaran WTP itu membuktikan kerajaan PH menunaikan janji dan membuat keputusan mengikut peraturan serta undang-undang.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan kerajaan negeri menerima RM1.277 bilion WTP sejak Jan hingga Sept lalu.
Katanya, jumlah itu selepas Kementerian Kewangan memotong hutang kerajaan negeri 25% bersamaan RM129 juta.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan