KONGRES Maruah Melayu bukan perkauman dan orang Melayu berhak
mengadakan perhimpunan seperti itu, kata Khalid Samad, sehari selepas
menulis di Twitter pengisian kongres seperti itu boleh mencetuskan
masalah.
Khalid hari ini sekali lagi memberi pandangannya di Twitter dan
menjelaskan beliau sebenarnya tidak bercanggah pandangan dengan Dr
Mahathir Mohamad.
“Saya BERSETUJU dengan Tun bahawa apabila sesuatu kaum mengadakan
perhimpunan bagi kaumnya, untuk membincangkan masalah kaumnya dan
negara, ia BUKAN rasis. Malahan ia hak mereka,” tulisnya.
Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa komennya telah diputar belit oleh media, dan beliau menuding kepada Astro Awani.
Kenyataan Khalid di Twitter semalam turut sama dilaporkan antaranya oleh The Malaysian Insight, The Star, dan Malaysiakini.
Semalam Khalid dipetik berkata perhimpunan seperti Kongres Maruah Melayu boleh mewujudkan kebencian dan perselisihan kaum kerana pengisiannya.
“Perhimpunan bukan masalahnya tetapi pengisiannya. Semua kaum, malahan
suku kaum, berkumpul membincang masalah dihadapi kaumnya dan negara
serta cara-cara mengatasinya.
“Tetapi sekiranya ia digunakan untuk menyemai kebencian terhadap kaum lain, maka barulah ianya menjadi rasis,” katanya, semalam.
Komen Khalid di Twitter semalam sebagai reaksi kepada tulisan Dr
Mahathir di blog sehari sebelumnya yang mempertahankan Kongres Maruah
Melayu awal bulan ini.
Dr Mahathir kesal orang Melayu dianggap rasis hanya kerana berhimpun untuk membincangkan hal ehwal sendiri.
Kehadiran Dr Mahathir ke Kongres Maruah Melayu dikritik antara lain
kerana memberi legitimasi kepada pengucapan politik perkauman yang
memecah belah.
Pada Jumaat, seorang pakar ekonomi dalam sebuah forum merumuskan Malaysia terperangkap dalam “bencana tidak terbendung” sejak selepas pilihan raya umum bersejarah yang menyaksikan pertukaran parti pemerintah sejak Merdeka.
Forum “Whither Maruah Malaysia 2.0” itu turut mendengar kupasan
peguam dan aktivis Ambiga Sreenivasan yang mengingatkan pemimpin akan
harapan rakyat yang mahu mereka mempertahankan Malaysia daripada retorik kaum dan agama yang semakin menular.
Sebelum ini, pimpinan DAP termasuk Lim Kit Siang mempersoalkan
kewajaran empat universiti menganjurkan Kongres Maruah Melayu dan
meminta mereka membatalkannya.
Kelmarin juga, Ketua Eksekutif Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Dr Zainal Kling diambil keterangan oleh polis di Bukit Aman berhubung ucapannya di kongres berkenaan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan