Pesuruhjaya Pas Perlis mampu buka mata, gerakkan tangan

ALOR SETAR - Keadaan kesihatan Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selepas dipercayai terkena serangan jantung baru-baru ini, menunjukkan perkembangan positif pagi ini.

Ketua Penerangan Pas, Perlis Dr Saifizi Saidon berkata, sejak semalam Mohd Shukri sudah mampu membuka mata serta menggerakkan tangannya manakala tekanan darahnya semakin stabil.

"Pihak hospital juga telah mengurangkan ubat bagi membantu jantung mengepam darah yang diberikan kepada beliau kepada satu jenis sahaja," katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, Pas Perlis berharap agar semua pihak dapat terus mengadakan solat hajat serta mendoakan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu.

Dalam kejadian jam 10 malam 29 September lepas, Mohd Shukri rebah selepas dipercayai terkena serangan jantung ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Perlis di Dewan 2020 di Kangar Perlis.

Beliau kemudiannya dimasukkan ke Unit Penjagaan Jantung Hospital Tuanku Fauziah di Kangar sebelum dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut pada 1 Oktober lepas. - Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan