SPRM keluar notis kompaun terhadap 80 individu, entiti

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Beliau berkata, keseluruhan wang yang disyaki diterima semua individu dan entiti terbabit dianggarkan RM420 juta dengan masing-masing menerima antara RM100,000 hingga RM134 juta.

“Senarai individu dan entiti ini kita percaya daripada kes 1MDB, kita keluarkan kompaun notis kepada mereka untuk tujuan mereka membayar denda, iaitu mengikut jumlah wang diterima atau sehingga 2.5 kali daripada jumlah terbabit.

“Kita sudah membuka kertas siasatan terhadap semua 80 individu terbabit, kita harap bila terima notis, mereka akan mengambil serius dan bayar segera,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Difahamkan, notis terhadap semua pihak terbabit sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada mereka.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata semua individu dan entiti terbabit perlu menjelaskan kompaun dalam tempoh dua minggu selepas menerima notis, atau berdepan tindakan mahkamah.

“Duit itu milik rakyat Malaysia, jadi kita akan cuba dapatkan semula sebanyak mungkin daripada kesemua mereka demi kepentingan awam dan orang ramai.

“Apa yang dilakukan oleh SPRM ini mungkin tidak pernah dibuat sebelum ini, tetapi kita laksanakan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan SPRM mendapati semua individu serta entiti termasuk syarikat dan parti politik terbabit menerima wang dipercayai daripada 1MDB yang disalurkan melalui cek.

“Ini berbeza dengan 41 individu yang menerima permohonan melucut hak daripada SPRM sebelum ini, iaitu wang di dalam akaun mereka dibekukan,” katanya.

Pada 19 Jun lalu, SPRM memfailkan permohonan melucut hak terhadap 41 responden bagi tujuan mendapatkan semula wang 1MDB yang disalah guna.

Permohonan mengikut Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 itu bagi mendapatkan semula wang lebih RM270 juta yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun Ambank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengikut Seksyen 92(1) AMLATFPUAA 2001, pihak berkuasa berwibawa atau agensi penguat kuasa berkaitan, boleh dengan keizinan Pendakwa Raya, mengkompaun mana-mana kesalahan di bawah akta ini dengan menerima daripada orang yang disyaki secara munasabah telah melakukan kesalahan itu, apa-apa amaun yang tidak melebihi 50 peratus daripada amaun denda maksimum bagi kesalahan itu.

Ia termasuk denda harian, jika ada, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, yang boleh dikenakan ke atas orang itu jika dia telah disabitkan atas kesalahan itu, dalam apa-apa tempoh yang dinyatakan dalam tawaran bertulisnya.

Seterusnya, apa-apa wang yang dibayar kepada pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa yang berkaitan menurut subseksyen (1) hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan