Umno-MCA sudah ada calon PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob mendedahkan Umno dan MCA sudah mencapai kata putus berhubung calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Beliau menepis dakwaan mengatakan Umno dan MCA belum mencapai sebarang kata putus, ekoran Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan calon gabungan itu pada majlis pelancaran jentera PRK P165 semalam.

“Kita tidak umum sebab belum masa,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata masa pengumuman yang sesuai akan diputuskan oleh Zahid dan Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad.
“Semalam cuma pelancaran jentera BN sahaja. Kita tidak mahu buat dua perkara dalam satu masa,” tambahnya.

Umno dilapor berhasrat untuk meletakkan calon di kerusi itu, yang dipertahankan oleh ketua MCA bahagian Wee Jeck Seng pada pilihan raya 2008 dan 2013.

Wee tewas kepada calon PKR, Md Farid Md Rafik dari PPBM pada piliihan raya 2018 dengan majoriti 524 undi. Kerusi Tanjung Piai kosong berikutan kematian Farid pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan Karmainie Sardini, seorang ahli perniagaan dan ketua PPBM bahagian sebagai calonnya.

Ismail mendedahkan pemilihan Karmaine, 66, itu bertentangan dengan anggapan pembangkang terhadap kerajaan.

“Kita ingat mereka hendak letak calon muda seperti disebut, tiba-tiba mereka letak orang yang sudah pencen,” katanya.

“Saya tidak mahu cakap kita seolah-olah menghina dia…kita akan letak calon lebih muda,” tambahnya.

Tanjung Piai akan mengundi pada 16 Nov ini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan