Usaha Memporakperandakan Pakatan Harapan Akan Berterusan

Oleh Hayar Hassan

Kelihatannya usaha-usaha pihak pembangkang untuk memporakperandakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sedang menerajui pemerintahan dan pentadbiran Putrajaya sentiasa diusahakan tanpa berhenti.

Ternyata ini adalah agenda utama UMNO/BN dan juga Pas pada waktu ini.

Itu adalah lumrah dalam dunia politik demokrasi. Persoalannya, setakat manakah usaha-usaha tersebut akan berhasil ?

Menjelang PRU 14, BN/UMNO telah berhasil dan berjaya dalam memecahbelahkan Pakatan Rakyat(PR) yang masih menjadi blok pembangkang ketika itu.

Cumanya kejayaan mengkuborkan PR itu tidak membuahkan kemenangan mutlak kepada BN/UMNO meneruskan penguasaan pemerintahan Putrajaya.

 Sehebat-hebat strategi BN/UMNO untuk terus berkuasa, kelihatannya tidak kesampaian.

 Strategi-strategi yang telah disusun rapi sepertinya tidak menjadi, berantakan semuanya.

 Faktanya UMNO/BN telah kalah pada PRU 14 kepada PH, setelah berkuasa hampir 62 tahun. Ini adalah suatu sejarah yang sukar dilupakan oleh semua rakyat Malaysia !

Qaqa dan qadar Allah SWT telah memenangkan PH. Siapa pun tidak menyangka bahawa YAB Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali semula sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke 7 dan YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, kali pertama seorang wanita menjawat jawatan kedua tertinggi di Malaysia.

Agak mengejutkan, tetapi tetap menarik, 9 orang ahli parlimen dan seorang ADUN Amanah yang dikatakan sebagai kumpulan progresif telah dilantik sebagai menteri, ketua menteri dan timbalan menteri.

YB Haji Mohamad Sabu@Abang Mad menjadi Menteri Pertahanan . YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa pula menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama Islam).

Menurut persepsi umum, seandainya PAS masih kekal dalam PR , tentulah Presiden PAS yang sepatutnya mengambil tempat YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa itu kerana beliau sudah diiktiraf sebagai seorang ulamak di dunia Islam.

Keberadaan kumpulan progresif ini dalam Kerajaan PH kelihatannya cukup tidak disenangi oleh kebanyakan ahli-ahli PAS. Kumpulan progresif ini sebenarnya adalah penggerak utama dalam aktiviti-aktiviti PAS semasa zaman PR dulu. Dikatakan hasil gerak kerja mereka lah yang memungkinkan PAS mempunyai Ibu Pejabat di Kuala Lumpur dan PAS agak mesra serta diterima oleh rakyat Malaysia bukan beragama Islam. Kelihatannya pada waktu ini wujud rasa cemburu dan irihati yang berlebihan sehingga munculnya budaya label melabel.

Tetapi itulah realitinya, pimpinan PAS terlalu terburu-buru bertindak keluar daripada PR kerana termakan dek umpan yang disajikan oleh UMNO/BN. Kalau mereka tahu bahawa UMNO/BN akan tewas dalam PRU 14, tentu lah mereka boleh bersabar sedikit lagi dan kekal dalam PR. Parti Amanah Nasional pun tidak perlu ditubuhkan.

Saya tidak pasti sama ada YB Haji Mohamad Sabu sewaktu asyik menebarkan jala di Sungai Kulim di kampong halamannya suatu ketika dulu, pernah terfikir untuk menjadi Menteri Pertahanan.
Masakan seorang anak kampong yang begitu gemar bermain lumpur dan air sawah boleh menjadi Menteri Pertahanan. Lazimnya untuk terpilih menjadi seorang menteri kabinet Malaysia, mestilah daripada keluarga bangsawan atau pun sekurang-kurangnya anak bekas wakil rakyat !

Paling jauh pun Abang Mad cuma mungkin berangan-angan untuk terus menjadi Ahli Parlimen Pembangkang, berceramah ke sana sini seluruh negara dengan menyajikan kupasan tentang politik semasa tanah air yang diselang seli dengan sedikit ungkapan lawak agar pendengar boleh gembira dan bergelak ketawa sebelum lena tidur!

YB Abang Mad Sabu pun setelah dilantik sebagai Menteri Pertahanan pernah membayangkan bahawa tugas dan tanggongjawab sebagai seorang menteri itu cukup berat serta terlalu mencabar.

Beliau pernah berseloroh dengan berkata, “ Hangpa masuk pejabat untuk bekerja pada umur dua puluhan, tapi aku hanya diterima untuk bekerja di pejabat pada umur enam puluhan, umur untuk orang bersara ja !”

Apa pun kita mendoakan agar YB Tuan Haji Mohamad Sabu dianugerahkan kesihatan yang selalu baik dan idea-idea yang bernas untuk memajukan lagi Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan juga Parti Amanah Nasional(Amanah).

Kembali kepada tajuk tulisan ini, akhir-akhir ini sememangnya wujud usaha-usaha untuk memporakperandakan PH . Entah bagaimana, seusai Kongres Maruah Melayu(KMM) baru-baru ini, wujud persepsi yang melihat rentetan peristiwa daripadanya ada usaha halus untuk meretakkan hubungan pimpinan parti-parti dalam PH.

Terbaru, dikatakan ada bukti-bukti tidak langsung(circumstantial evidences) yang mengukuhkan komplot tersebut. Kesemua empat orang Setiausaha Agong parti-parti dalam PH telah mengeluarkan pernyataan bersama atas hal ini.

Dalam hal ini, pimpinan, ahli-ahli serta penyokong-penyokong PH hendak selalu waspada serta tidak cepat melatah apabila membicarakan sesuatu isu yang menyangkut keutuhan serta kelangsungan PH.

Penulis sebenarnya berkesempatan menonton rancangan “ GET REAL SI-Epo 2” dalam siri Discovery Asia Astro. Dokumentari ini memaparkan secara terperinci gerak kerja buzzer@cybertroopers semasa PRU 14 Malaysia dan PEMILU Republik Indonesia(RI).

Rupanya, pada hari ini dengan meluasnya penggunaan peralatan media sosial seperti Facebook, twitter,instangram, what’s app, Utube dan lain-lain lagi, kecenderungan pengundi serta persepsi rakyat boleh diolah dan diarahkan kepada sesuatu pihak. Ini adalah peranan yang boleh dimainkan oleh buzzer@cybertroopers.

Dalam hal ini, penulis berpandangan Kerajaan PH melalui Kementerian Komunikasi Dan Multimedia perlu menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang ada berkaitan berita-berita palsu, fitnah dan berita bohong. Seandainya pihak berwajib mempunyai cukup bukti, pendakwaan perlu dibuat dimahkamah.

Kebebasan bersuara dan mengkritik itu perlu lah didampingi dengan pertanggongjawaban. Hujah, tulisan dan lontaran idea hendaklah bersandarkan kepada fakta, bukannya andaian-andaian semata-mata serta tidak menyentuh perkara-perkara sensitif. Semua rakyat hendaklah selalu diingatkan bahawa Malaysia ini mempunyai masyarakat majmuk. Kita mempunyai kontrak-kontrak sosial yang telah dipersetujui secara bersama semasa kita mencapai kemerdekaan dahulu.

Seandainya kita maklum akan hal-hal yang diatas, pastinya negara akan terus makmor dan maju.
Parti-parti dalam PH sendiri pula perlu lah mempunyai kumpulan cybertroopers yang cekap dan berkesan dalam menanggapi setiap isu yang dimainkan dalam media sosial.

Pada pandangan penulis, menjelang PRU 15 nanti, PH akan tetap unggul. Marilah kita bekerja dan sentiasa berdoa bahawa Kerajaan PH yang ada ini bukan lah Kerajaan Satu Penggal.




















Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan