'Ismail tak wajar remehkan kesalahan VVIP sebagai cuma langgar SOP'

Peguam Syahredzan Johan berkata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya meremehkan ("downplay") pensabitan Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali dan anggota exco Perak, Razman Zakaria sebagai sekadar "melanggar SOP"

"Menteri Kanan tidak wajar downplay kesalahan jenayah yang dilakukan oleh timbalan menteri dan exco tersebut demi menjelaskan apa yang dikatakan layanan berbeza di antara VIP dan marhaen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Syahredzan, berdasarkan laporan tentang pertuduhan, Ismail dan Razman didakwa kerana mengingkari Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Peraturan itu melarang perhimpunan atas pelbagai sebab termasuk tujuan sosial dan boleh dikenakan hukuman RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Ini bermakna, mereka bukanlah ‘langgar SOP sahaja’, tetapi jelas melanggar peraturan PKP (perintah kawalan pergerakan) itu sendiri dan boleh dihukum bawah Peraturan 11(1) Peraturan sama.
"Jika mereka sekadar ‘langgar SOP’, mana mungkin mereka boleh didakwa di mahkamah. Tidak mematuhi social distancing (penjarakan sosial) bukanlah jenayah.
 


















































































 


"Dan timbalan menteri dan exco tersebut bukan didakwa sebab tidak patuh social distancing, tetapi sebab berhimpun sewaktu PKP untuk maksud sosial.

"Maka, sepatutnya tiada beza jenayah timbalan menteri dan exco, dengan jenayah rakyat biasa dalam hal ingkar PKP ini," kata Syahredzan.

Syahredzan, yang juga setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Ismail pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail sebelum ini menjelaskan kedua-dua pemimpin itu tidak ingkar PKP tetapi sebaliknya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang mengatur pergerakan semasa PKP, seperti tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Ini katanya, kerana kerajaan telah mengumumkan bahawa wakil rakyat dibenarkan bergerak untuk membantu rakyat dalam tempoh PKP, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

Menurut Ismail, banyak hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pesalah PKP bukan kerana mereka melanggar PKP sahaja tetapi juga kerana melakukan kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan seperti menghalang petugas penjawat awam.

"Bermakna dipenjarakan bukan hanya sebab (ingkar) PKP, langgar SOP tapi kesalahan lain melibatkan Kanun Keseksaan.

"Itu sebab hukuman berbeza, bukan kerana ada dua darjat yang cuba digambarkan ramai di luar sana," jelas beliau lagi.

Pada 17 April, Noor Azmi dan rombongannya mengunjungi sebuah sekolah agama di Lenggong, Perak, dan menyiarkan gambar mengagihkan barang kepada beberapa individu.

Beberapa gambar juga memaparkan beliau sedang makan dengan kira-kira 20 individu, termasuk dengan Razman, tanpa penjarakan sosial, .

Kiriman di Facebook itu telah dipadam, namun tangkap layar kiriman itu tersebar di media sosial dan mendapat kritikan pengguna media sosial.

Noor Azmi dan Razman mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Gerik semalam. Kedua-duanya juga telah meminta maaf atas perkara itu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan