Umno Sabah mahu bangkitkan semula isu lantikan lepas PKP

Sekiranya tuntutan agar empat pemimpinnya dilantik memegang jawatan dalam kerajaan persekutuan tidak diendahkan, Umno Sabah berkemungkinan akan membawa semula perkara itu kepada perdana menteri.

Kata Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Awang Fadli Juanas, cadangan lantikan berkenaan dikemukakan Umno Sabah untuk memperkasakan parti itu peringkat negeri.

Namun katanya, Umno Sabah dilihat seperti tidak diberikan peluang dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang.

“Kalau kita tak dapat apa yang diminta ini, kita akan balik kepada perdana menterilah, minta agar Umno Sabah ini (dipertimbangkan lagi). Kita sekarang ini mahu memperkasakan parti.

“Jadi kita minta sangat, kalau pun kita tak diberi dalam tempoh terdekat dalam PKP (perintah kawalan pergerakan) ini, kita mohon selepas PKP, kalau boleh perdana menteri berikan kita satu jawaatan yang boleh mendekatkan Umno ini dengan rakyat dan membantu rakyat.
“Itu saja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Awang Fadli diminta mengulas mengenai bentuk tindakan yang mungkin diambil Umno Sabah sekiranya cadangan itu tidak mendapat perhatian perdana menteri, sama ada membawanya semula ke perhatian Muhyiddin Yassin atau membiarkan begitu saja.

Katanya, Umno Sabah akan melihat perkara itu “dari sudut yang besar” dan tidak akan melakukan tindakan yang merugikan parti, namun menegaskan bahawa sekiranya cadangan itu ditolak, penjelasan dan sebab musabab wajar diberikan kepada mereka.

Jelasnya, ini kerana Umno Sabah mempunyai dua orang ahli parlimen yang wajar mendapat pertimbangan sewajarnya untuk dilantik memegang jawatan daripada perdana menteri.

Pemuda Bersatu minta Muhyiddin jangan layan
 
Sedangkan, katanya lagi, bekas ahli Umno yang menyertai Bersatu diberikan jawatan yang lebih penting dan dekat dengan rakyat.

“Saya rasa perdana menteri pun boleh melihat secara rasional benda ini, isya-Allah.

“Sebab dua ahli parlimen kita ini pun boleh mengundi di Dewan Rakyat. Iyalah, kita tahu bagaimana kedudukan kerajaan PN sekarang kan.

“Saya rasa anda pun tahu kedudukan di Dewan Rakyat nanti,” katanya lagi tanpa mengulas lebih lanjut.

Dalam surat bertarikh 16 April yang ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, empat nama pemimpin Umno dicadangkan untuk memegang jawatan tertentu termasuk bekas menteri, Abdul Rahman Dahlan - yang pernah menjadi ahli parlimen Kota Belud - sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sabah.

Tiga cadangan nama lain ialah Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin- yang juga ahli parlimen Kinabatangan sebagai pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah; anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, sebagai timbalan menteri persekutuan; dan timbalan ketua Umno Sabah merangkap ahli majlis tertinggi, Yakubah Khan, sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Pemuda Bersatu (Armada) meminta agar Muhyiddin tidak melayan tuntutan Umno Sabah.

"Sepertimana kenyataan Armada sebelum ini melalui Exco Armada, Mohd Ashraf Mustaqim, jelas sebahagian pimpinan Umno kelihatannya berniat menekan kepimpinan Muhyiddin atas keutamaan kuasa dengan turut tidak menampakkan keikhlasan dalam usaha pihak kerajaan sekarang yang bertungkus-lumus menghadapi wabak Covid-19.

"Perdana menteri diharap tidak perlu tergesa-gesa menyatakan respons sama ada menerima atau menolak gesaan Umno Sabah malah Armada teguh untuk perdana menteri terus memberikan khidmat yang terbaik dalam situasi wabak ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berkata ramai lagi dalam kepimpinan gabungan PN di Sabah yang lebih layak berbanding nama yang dicadangkan.

"Malah Armada turut mencadangkan agar perdana menteri mengalihkan pandangan kepada wakil anak muda Sabah atau mereka di bawah usia 40-an dari negeri Sabah ditambah kerana julat usia 40-an ke bawah dan belia atau anak muda utamanya adalah majoriti penduduk negeri Sabah yang kini dijangka telah mencecah empat juta penduduk," kata kenyataan itu.

Bung Moktar semalam memberitahu bahawa masih belum ada maklum balas oleh Muhyiddin berkenaan cadangan yang dihantar itu, dan memberitahu akan menunggu dahulu respons Muhyiddin sebelum sebarang langkah susulan dipertimbangkan Umno Sabah.

Selain Bung Moktar, beberapa pemimpin lain turut menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung jawatan pemimpin Umno, antaranya Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan; bekas menteri Azalina Othman Said; veteran Umno, Shahrir Samad; serta anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman.

Muhyiddin mengumumkan kabinetnya pada 9 Mac, setelah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri gabungan PN pada 1 Mac lalu.

PN dibentuk di peringkat pusat di antara Umno, Bersatu dan PAS, disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta wakil bebas, melalui 'Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan