Habis Muhyiddin Kali Ini ...

Oleh Shahbudin Husin

Apa nasib Muhyiddin Yassin dalam usul undi tak percaya 18 Mei nanti?

Bolehkah beliau menang dan kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Atau mungkinkah Muhyiddin bakal menjadi seorang lagi Perdana Menteri, selepas Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak yang berjaya dijatuhkan oleh Tun Mahathir Mohamad?

Jika usul itu berjaya, adakah Tun Mahathir sekali lagi akan jadi Perdana Menteri atau beliau sekadar mahu mengembalikan kuasa kepada PH dan menyerahkan kepada orang lain untuk menjadi Perdana Menteri?

Demikian antara beberapa persoalan yang kedengaran sejak tersiarnya berita tentang usul undi tak percaya yang dicadangkan oleh Tun Mahathir terhadap Muhyiddin diterima oleh Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md Yusof untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Rata-rata orangramai menyambut baik usul tersebut, bukan saja kerana ia dibenarkan oleh perlembagaan, malah juga untuk mengesahkan kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri yang disebut oleh Hadi Awang, memperolehi jawatan tersebut melalui tebuk atap.

Dengan itu, keputusan Speaker membenarkan usul tersebut seharusnya disanjung tinggi kerana beliau sebenarnya mahu, siapa pun yang duduk di kerusi Perdana Menteri selepas 18 Mei nanti, ada seorang yang tidak diragui langsung kesahihannya.

Begitu pun, ramai yang melihat dengan diterimanya usul Tun Mahathir itu, kedudukan Muhyiddin dianggap semakin genting atau kian berada di hujung tanduk.

Dalam bahasa pasar kaki lima, ertinya….habislah Muhyiddin kali ini!!

Ada beberapa faktor yang tampak meyakinkan bahawa usul ini akan menemui kejayaan dan Muhyiddin akan menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah negara.

Pertama, usul undi tidak percaya ini walaupun hanya akan ditentukan oleh 222 Ahli Parlimen, tetapi majoriti rakyat yang mengundi PH dalam PRU14 lalu pasti turut sama mengiringinya dengan doa kepada Tuhan agar ia menemui kejayaan.

Mahu tidak mahu, niat murni di sebalik usul ini adalah untuk mengembalikan semula kuasa kepada PH yang sebelum ini kerajaannya telah dirampok di pertengahan jalan.

Doa-doa pengundi yang teraniaya kerana mereka mengundi PH, tetapi PN yang menjadi kerajaan melalui jalan pengkhianatan, adalah doa tanpa hijab yang lebih mungkin diterima serta dimakbulkan Tuhan.

Oleh itu, jangan main-main dengan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin ini!!

Kedua, mengenali rekod Tun Mahathir menjatuhkan orang selama ini, beliau tidak mungkin melakukan sesuatu perkara jika tidak yakin kemenangan mampu dicapainya.

Lihat bagaimana beliau menjatuhkan Tun Abdullah Badawi dan Najib sebelum ini, hanya setelah benar-benar yakin kejayaan boleh dicapainya, barulah jalan itu dipilihnya
.
Dalam kes usul undi tidak percaya ini, tidak mustahil Tun Mahathir sebenarnya telah melakukan penelitian dan perancangan rapi serta membuat beberapa urusan seperti melalui panggilan telefon dengan pelbagai pihak dalam tempoh PKP kira-kira 50 hari sebelum ini di mana beliau hanya berkurung di rumahnya saja.

Ketiga, walaupun UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan PN yang tidak berdaftar ini, tetapi mereka sebenarnya ibarat penumpang kelas tiga serta dapat nikmat sipi-sipi saja.

Penumpang kelas pertama ialah geng Bersatu pro Muhyiddin, termasuk bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang melompat ke dalam parti itu seperti Hamzah Zainuddin, Dr. Latif Ahmad dan lain-lainnya.

Penumpang kelas kedua pula ialah kumpulan Azmin Ali daripada bekas PKR di mana semua 10 Ahli Parlimennya yang khianat telah diberikan jawatan dalam kerajaan.

Dua kelas penumpang inilah yang paling banyak mendapat nikmat jawatan dan kedudukan daripada Muhyiddin, walaupun UMNO merupakan blok terbesar dalam PN dengan jumlah Ahli Parlimen seramai 39 orang, tidak temasuk dua daripada MCA dan seorang MIC.

UMNO yang biasa menjadi ketua dan berada di gerabak kelas pertama sejak 60 tahun lamanya benar-benar tidak puas hati dengan kedudukan mereka yang dihumban hina ke kelas ketiga sekarang ini.

Lantaran itu, UMNO tidak pernah puas hati dan sentiasa memberi tekanan kepada Muhyiddin kerana lebih mahukan PRU diadakan segera bagi membolehkan mereka bersama Pas dalam MN menjadi kerajaan dan mentadbir negara ini sebagai ketua berkelas pertama semula.

Untuk itu, terdapat kecenderungan yang nyata bahawa UMNO mungkin memberi sokongan secara diam-diam kepada usul Tun Mahathir ini.

Namun, sokongan mereka bukanlah untuk membolehkan PH berkuasa semula, tetapi dengan harapan Muhyiddin akan membubarkan Parlimen jika kalah dalam usul tersebut.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan sejumlah Ahli Parlimen UMNO yang tidak setuju dengan tindakan Muhyiddin terlalu memberi keutamaan kepada Azmin yang dijadikan menteri kanan paling kanan, walaupun ada kes moral yang jijik, turut menyokong usul Tun Mahathir ini dalam pengundian nanti.

Sekarang usaha Muhyiddin mengikat mereka ialah dengan cara memberi jawatan dalam GLC yang jelas semakin aktif dilakukan kebelakangan ini.

Tetapi, jawatan dalam kerajaan dan GLC bukan jaminan yang dapat mengikat Ahli-Ahli Parlimen UMNO kerana kiblat mereka adalah kepada parti, lagi pun PN hanyalah kerajaan sementara yang paling lama pun bertahan sehingga PRU15 saja.

Dengan semua faktor itu, kelebihan jelas tidak banyak memihak kepada Muhyiddin dan harapannya untuk bertahan lebih lama tampak sangat tipis.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Tindakan ini pun kerajaan pintu belakang! Kenapa penyokong PH tak mahu PRU15 jika mengaku disokong rakyat.

    BalasPadam