Menang tanpa bertanding, tetapi kedudukan Dr M sebagai pengerusi PPBM kabur

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menjangka PPBM akan mengambil langkah tertentu bagi menghalang pelantikan semula Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pengesahan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (JPPM) bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan pemangku pengerusi PPBM membayangkan tindakan disiplin boleh diambil ke atas Mahathir dan kumpulannya kerana bertindak berlawanan dengan garis parti, terutama berkait pembentukan kerajaan hari ini.

Beliau memberitahu FMT, setidak-tidaknya keahlian Mahathir boleh digantung, sekali gus menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding merebut jawatan pengerusi.

“Ini akan memastikan Mahathir dan anggota kumpulannya menjadi tidak aktif dan tidak boleh bertanding atau mempengaruhi ahli akar umbi menjelang pemilihan parti itu,” katanya.
Mac lepas, pengerusi jawatankuasa pemilihan PPBM Syed Hamid Albar mengumumkan bahawa hanya Mahathir mendaftar untuk bertanding jawatan pengerusi parti itu.

Perwakilan dari 189 bahagian parti sepatutnya mengundi bagi memilih calon untuk jawatan tertinggi PPBM pada 18 April dalam mesyuarat masing-masing, tetapi terhalang susulan penularan wabak Covid-19 apabila JPPM melarang semua pertubuhan daripada menganjurkan apa-apa acara sehingga 30 Jun depan.

Semalam JPPM mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi PPBM melalui sepucuk surat daripada bekas perdana menteri itu berikutan krisis politik yang berlaku pada Februari.
Awang Azman berkata, Muhyiddin berhak untuk berperanan sebagai pengerusi sehingga pemilihan parti diadakan.

Sebagai presiden PPBM, Muhyiddin berdepan 2 pencabar, iaitu daripada timbalan presiden Mukhriz Mahathir dan calon tidak dikenali, Mohd Faiz Azli Sham.

Seorang penganalisis lain berkata, Muhyiddin sewajarnya bertanding jawatan pengerusi PPBM, dengan menambah bahawa langkah itu akan membolehkan Muhyiddin “secara demokratik menyingkirkan” Mahathir daripada parti itu.

“Walaupun tempoh penamaan calon telah ditutup, tentu ada cara bagi membolehkannya (penamaan calon) kerana Muhyiddin tidak boleh membiarkan Mahathir terus berada dalam PPBM,” kata Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia.

Kemenangan dalam pemilihan parti lebih berkesan dalam menyingkirkan bekas perdana menteri itu, berbanding apa-apa tindakan disiplin, katanya.

Beliau berkata, pengaruh Mahathir dalam PPBM memang semakin berkurang dan ini boleh menyebabkan beliau hilang jawatan pengerusi dalam pemilihan parti.

“Bukan rahsia lagi bahawa pengaruh Mahathir dalam Pakatan Harapan (PH) juga berkurang dengan pantas,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan