Perikatan Nasional hanya untuk sidang Parlimen, kata pemimpin Umno, PAS

Oleh

PERJANJIAN persefahaman (MoU) menubuhkan Perikatan Nasional (PN) tidak mengikat parti-parti politik dalam kerajaan untuk mendaftar sebagai sebuah gabungan rasmi, kata pemimpin Umno dan PAS.

MoU itu, yang dipersetujui enam pemimpin gabungan dan parti politik kelmarin, hanya untuk memudahkan urusan pentadbiran Parlimen yang bersidang semalam serta membolehkan kerajaan bergerak, kata mereka.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata MoU itu untuk menunjukkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti daripada parti-parti politik yang membentuk kerajaan.

“Ia tidak mengikat. MoU itu sekadar MoU walaupun kenyataan (menyebut) bersetuju tubuh PN.

“Ia tidak akan menjurus kepada pendaftaran parti PN macam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), hanya nak tunjuk dan memudahkan perkara pentadbiran dalam Parlimen.

“Tidak ada apa-apa usaha menjadikan PN sebagai parti,” katanya

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal (2004-2018) menjelaskan apabila Parlimen bersidang, perlu ada garis jelas antara blok kerajaan dan pembangkang, dan MoU itu menggambarkan sokongan kepada kerajaan.

“Untuk memudahkan secara pentadbirannya, ahli Parlimen daripada beberapa parti buat MoU untuk gambarkan sokongan kepada PN.

“Itu memorandum untuk memudahkan ahli Parlimen tunjuk sokongan kepada Muhyiddin kerana beliau kena tunjuk beliau ada sokongan (sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen) dan (semalam) beliau tunjuk beliau ada sokongan itu,” kata Nur Jazlan.

Aturan tempat ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam membayangkan pentadbiran Muhyiddin mempunyai 113 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya kerajaan majoriti paling kecil dalam sejarah Malaysia.

Untuk kerajaan bergerak

Nur Jazlan memberitahu beliau tidak nampak bagaimana PN boleh ditubuhkan seperti BN kerana katanya, Majlis Tertinggi Umno sebelum ini tidak bersetuju dengan penubuhan PN.

“Umno sudah tolak penubuhan PN secara rasmi. MoU ini sebab Parlimen nak bersidang saja, bukan untuk tubuh parti politik… bukan perjanjian politik dan sebagainya,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali berkata fokus utama MoU itu ialah untuk memastikan setiap parti ada ikatan kuat bagi membolehkan kerajaan bergerak.

“(Pilihan raya) kita bincang kemudian. Fokus pemerkasaan kerajaan sekarang, yang penting ikatan kita kuat dalam menguruskan kerajaan.

“Kita tak mahu berlaku macam PH yang longgar dari sudut hubungan dan berlaku pertembungan,” katanya, yang juga menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

Kelmarin, ketua-ketua Bersatu, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan dalam satu kenyataan bersama persetujuan membentuk PN.

Kenyataan itu muncul ketika Umno yang menerajui BN bertelingkah secara terbuka dengan Bersatu dan beberapa pemimpinnya menegaskan kerjasama dalam PN hanya setakat sebelum pilihan raya akan datang.

Kenyataan bersama penubuhan PN semalam dikeluarkan oleh Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno.

Kenyataan itu juga disertai empat pemimpin lain yang mewakili parti masing-masing iaitu Abdul Hadi Awang (PAS) Abang Johari Openg (GPS), Dr Maximus Ongkili (PBS), dan Dr Jeffrey Kitingan (STAR).

“PN jelmaan BN”

Sementara itu, penganalisis politik melihat PN adalah penjenamaan semula BN, yang kalah pilihan raya umum yang lepas.

Mohamad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya melihat ada kecenderungan parti yang mempunyai majoriti besar dalam PN untuk mendominasi parti lain yang lebih sedikit kerusinya – sama seperti amalan BN dulu.

“Pengiktirafan MoU kelmarin adalah satu proses hendak mendominasi dalam PN meskipun ada Muafakat Nasional.

“Ini bibit-bibit dominasi. Ini strategi politik cukup licik untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15, khususnya oleh Umno dan PAS,” kata Tawfik, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik.

Tawfiq berkata PN tidak sama seperti PH yang memberi ruang kepada parti seperti DAP yang dominan kaum Cina untuk lantang ke hadapan.

“Sebenarnya tiada bezanya antara BN dengan PN,” katanya.

Pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, persetujuan dua gabungan dan empat parti politik untuk menubuhkan PN hanya untuk jangka pendek.

Beliau melihat tiga parti tunjang Melayu dan Islam yang bersama dalam kerjasama itu – Bersatu, Umno dan PAS – akan berhadapan isu untuk mengagihkan kerusi pada PRU15 nanti, yang memerlukan tolak ansur yang luar biasa.

“PN ada kumpulan parti Melayu agak besar. Itu menjadikannya unik. Mungkin ada masalah, mungkin juga tiada masalah dalam agihan kerusi, dan boleh terima sesama sendiri.

“Cuma Bersatu sanggup atau tidak diterima sebagai rakan kongsi junior dalam PN, atau mahu semua dianggap sama rata macam gabungan PH.

“Umno dan BN boleh terima atau tidak keadaan ini?” kata Azizuddin.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan