Membaca sifir politik Muhyiddin dan masa depan Bersatu

 Oleh ZAKARIA MUSA

Berdasarkan latar belakang dan pengalaman politiknya, sejak awal Muhyiddin Yassin dikira layak dipertimbang sebagai calon perdana menteri.

Malah ada percubaan untuk menonjolkannya ke jawatan itu ketika Dr Mahathir Mohamad dianggap sudah berusia terlalu lanjut dan Anwar Ibrahim masih dikurung di Sungai Buloh.

Keberanian Muhyiddin bangkit menyuarakan bantahan terhadap skandal raksasa 1MDB sehingga kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri terlucut juga bukti beliau berprinsip. Namun ada pihak beranggapan kelantangannya waktu itu lebih bermotif untuk mengambil tempat Najib Razak sekiranya rancangan untuk mendakwa bekas perdana menteri itu berjalan lancar. Difahamkan deraf pertuduhan telahpun disiapkan Pejabat Peguam Negara.

Umum melihat faktor kesihatan Muhyiddin sebagai punca beliau dianggap calon simpanan. Apatah lagi personaliti beliau kurang menyerlah terutama dalam konteks menggembleng suara rakyat menjelang PRU14 yang kritikal itu. Dalam usia 93 tahun, Mahathir pula berjaya membuktikan beliau masih mampu memimpin dengan baik grand coalition pembangkang dan menangkap imiginasi rakyat yang mendambakan perubahan.

Muhyiddin merupakan sebahagian Team Wawasan yang diketuai Anwar dalam pemilihan Umno 1993. Semua anggota pasukan itu menang untuk jawatan no. 2 dan no. 3 parti. Meskipun diangkat menjadi naib presiden terkanan, Muhyiddin yang dipindahkan daripada menteri besar Johor hanya dilantik menteri belia dan sukan; posisi yang dilihat rendah. Mahathir mungkin mempunyai alasan tersendiri, seperti rekod prestasi Muhyiddin di Johor yang tercemar dengan pelbagai persepsi rasuah.

Rupanya Muhyiddin menyimpan rasa terhadap tindakan Mahathir yang tidak mempromosinya ke jawatan lebih kanan hampir 30 tahun lalu itu. Untuk rekod, ketika Anwar dipecat Umno dan hilang jawatan TPM pada September 1998, Muhyiddin dilihat datang ke kediaman Anwar memberikan sokongan moral.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan terbentuk, disusuli pelantikan menteri-menteri kanan, Muhyiddin dipilih sebagai Menteri Dalam Negeri. Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Menteri Kewangan. Sekali lagi Muhyiddin “terasa hati” kerana tidak dilantik mengetuai Perbendaharaan.

Seorang aktivis muda PH mengulas rasa tidak puas hati Muhyiddin ini: “Bagi saya, agihan jawatan menteri di kalangan pemimpin kanan sudah memadai. Takkan Guan Eng nak dilantik Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan, lagilah sensitif. Yang jelas Tun Mahathir meraikan sumbangan setiap parti komponen menumbangkan BN dalam PRU14, termasuk DAP.”

Semasa berganding dengan Najib di Puterajaya, Muhyiddin pernah dikritik kerana berpegang dengan konsep yang lebihkurang bermaksud, “Melayu didahulukan berbanding Malaysia”. Justeru, tidak pelik aoabila dimakkumkan beliau tidak senang dengan kedudukan DAP dalam Pakatan Harapa khususnya selepas calin Bersatu kalah teruk dalam PRK Tanjung Piai. Muhyiddin juga menjadi antara tenaga pendesak utama agar perdana menteri waktu itu, Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan ekoran kekalahan moral BN dalam PRU2008.

Cita-cita atau impian tinggi Muhyiddin nampaknya terlindung dengan perwatakannya yang nampak sederhana. Keuzurannya juga menjadikan beliau tidak berada di bawah teropong penganalisis politik. Paling tinggi pun, Muhyiddin terpaksa menunggu giliran selepas Anwar. Mungkin kepada penyokong Anwar, Muhyiddin tidak dianggap saingan terdekat; justeru “ancamannya” jarang dianggap serius, malah diabaikan sama sekali.

Hakikat yang sukar dinafikan, perbalahan di antara kumpulan Mahathir dengan Anwar menyebabkan kerajaan PH tumbang, manakala perselisihan berterusan yang mengusulkan pencalonan kedua-dua tokoh itu sebagai PM8 telah menyediakan Muhyiddin untuk mengambil kesempatan. Nama Muhyiddin muncul apabila sokongan kepada Mahathir dan Anwar berpecah sehingga tiada calon memperolehi undi minimum 112.

Sehingga kini senarai wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri belum terdedah. Sehingga ada dakwaan bahawa Istana Negara menerima senarai yang dimanipulasi terutama membabitkan ahli Parlimen Bersatu. Peluang Dewan Rakyat untuk menguji sokongan kepada Muhyiddin juga dinafikan. Peluang untuk mengesahkan legitimasi perdana menteri terbazir begitu sahaja. Ramai percaya Muhyiddin kini hadapi defisit kepercayaan yang menbawa imej buruk kepada negara. Dalam suasana ancaman wabak maut Covid-19 masih berterusan, sebarang pakej rangsangan dan pelan pemulihan sukar dilaksanakan selagi sidang perbahasan Parlimen dinafikan. Kerajaan yang tertegak di atas langkah pengkhianatan yang membelakangi mandat rakyat, sentiasa dibayangi mimpi ngeri akan runtuh dengan skrip yang sama. Sekali khianat, selamanya rasa tidak selamat ….

Walaupun penyokong kerajaan diikat kesetiaan dengan pelbagai ganjaran, khususnya melalui pelantikan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi berkanun, Muhyiddin masih ragu-ragu. Cabaran daripada dalam parti juga merupakan bebanan besar sehingga beberapa tokoh besar, seperti pengerusi, Mahathir dan timbalan presiden, Mukhriz Mahathir, dipecat keahlian. Operasi pembersihan Bersatu tidak terhenti setakat itu, senarai panjang “pemberontak” daripada kalangan ahli Parlimen, Adun dan juga pemimpin akar umbi menunggu untuk dicantas.

Posisi Bersatu tidak pula menjadi semakin kukuh apabila Muhyiddin menjadi perdana menteri. Kerajaan Perikatan Nasional dilihat begitu rapuh, tidak stabil dan kehilangan arah. Tiada kesepakatan di antara parti komponen, malah Umno yang menghantar wakil rakyat teramai awal-awal lagi menolak persefahaman longgar itu. Siang-siang lagi pemimpin kanan Umno membayangkan akan bertanding di semua kawasan tradisinya dalam PRU15. Umno menggambarkan hanya mengiktiraf kerjasama politik bersama Pas, dalam Muafakat Nasional dan tidak sedia berkompromi untuk menyerahkan kerusinya kepada Bersatu, yang juga memberi tumpuan kepada konstituensi sama, majoriti pengundi Melayu.

Melalui perbincangan mesyuarat Bersatu yang didedahkan, nampak motif parti itu keluar Pakatan Harapan selain memastikan jawatan PM masih disandang pemimpinnya, ia juga untuk memperkukuh kedudukan politik Melayu-Islam dan memposisikan Bersatu sebagai parti Melayu terbesar.

Difahamkan Muhyiddin telah mengambil rumusan mudah, berdasarkan kekalahan PRK Tanjung Piai, pengundi Melayu tidak senang dengan pengaruh DAP dalam kerajaan PH. Sebenarnya Muhyiddin, Azmin Ali dan seteru ketat Anwar dalam Bersatu sedang menyediakan suasana politik yang kondusif untuk menjayakan cita-cita politik mereka.

Keghairahan Muhyiddin merebut peluang terbaik menjadi perdana menteri menghilangkan rasa hormat kepada Mahathir. Sanjungan kepada negarawan ulung dan pengasas Bersatu itu bertukar kepada aksi pengkhianatan. Hatta keputusan mesyuarat majlis tertinggi Bersatu pada 23 Februari pun dilanggarnya. Mahathir tidak sempat menyusun langkah persaraan secara teratur. Beliau terpaksa keluar daripada Pejabat Perdana Menteri secara tergesa-gesa dalam keadaan agenda pembaharuan yang terbengkalai apabila hilang sokongan majoriti. Tanpa disedari Mahathir, Muhyiddin dan penyokongnya sudah menyiapkan pelan konspirasi untuk menyingkirkannya. Muhyiddin ternyata tidak menghargai setiakawan sesama Pakatan Harapan dan sokongan rakyat dalam PRU14.

Meskipun cuba berlagak mementingkan integriti ketika menubuhkan Kabinet dan memperagakan diri sebagai anak ulamak dengan imej tawaduk berdoa, watak sebenar Muhyiddin terdedah apabila mengamalkan politik sogokan untuk mengikat sokongan. Ahli-ahli Parlimen Umno juga dipikat untuk menyertai Bersatu melalui tawaran jawatan berimbuhan tinggi. Ironisnya Bersatu semakin terhimpit dengan permainan politik Umno dan Muhyiddin tetap dilihat dayus untuk berdepan usul undi tidak percaya di Parlimen.

Sebenarnya pemikiran atau impian mahu menjadi dominan dan pemegang kuasa mutlak seperti kedudukan Umno dalam BN dahulu adalah budaya politik lama. Sifir politik Muhyiddin pula seperti terikat dengan kepercayaan lapuk warisan regim terdahulu yang sudah ditolak rakyat. Berdasarkan laporan media, Muhyiddin kelihatan lebih didukung majoriti ahli Bersatu, berbanding Mahathir, difaktorkan kedudukannya sebagai perdana menteri. Namun realiti akar umbi sukar dipastikan apabila ahli parti mula mencongak dengan kritis masa depan parti.

Melangkaui PRU15, apa pilihan Bersatu di tangan Muhyiddin? Ataupun Muhyiddin akan diserap ke dalam Umno dan musnahlah harapan Bersatu untuk menjadi parti alternatif kepada orang Melayu? (Meneliti tujuan penubuhan Bersatu, antara lain, meberikan perhatian kepada reformasi institusi untuk mengembalikan integriti dalam pentadbiran negara). Dalam masa sama, mampukah sosok Mukhriz mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan bapanya, Mahathir? Atau, perubahan kerajaan yang dijangka berlaku sedikit masa lagi, bakal mengubah senario dalam Bersatu? Sama-sama kita perhatikan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan